Keprihatinan Terhadap Belia: Ewon Salur Sumbangan
- nabalunews
- 2 days ago
- 1 min read

7 Ogos 2025
KOTA BELUD : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick terus menunjukkan komitmen terhadap pembangunan belia di kawasan beliau menerusi penyaluran sumbangan kewangan bagi membaik pulih infrastruktur padang bola sepak di Kampung Ratau, Kota Belud.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Penyelia Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Joel Deukin, yang mewakili Ewon kepada wakil Kelab Belia Kampung Ratau, Jospeh Ringging.
Menurut Jospeh, sumbangan yang diterima itu akan digunakan bagi tujuan pembaikan tiang gol padang bola sepak kampung tersebut, yang merupakan antara kemudahan penting dalam menyokong aktiviti sukan dan pembangunan sahsiah belia di kawasan berkenaan.
“Bagi pihak Kelab Belia Kampung Ratau, kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ewon atas keprihatinan dan sokongan berterusan beliau. Dana ini amat bermakna kepada komuniti kami dan membuktikan komitmen beliau terhadap kesejahteraan belia,” ujar beliau.
Sumbangan tersebut hadir sebagai langkah segera dalam memastikan kemudahan sukan di kampung tersebut berada dalam keadaan selamat dan boleh digunakan secara optimum.
Dalam kenyataan yang disampaikan oleh Joel, beliau memaklumkan bahawa Ewon sentiasa mengambil serius keperluan pembangunan belia di Kadamaian, khususnya dalam aspek kemudahan asas dan program pembangunan potensi anak muda.
“Ewon percaya bahawa pelaburan dalam prasarana sukan merupakan antara asas penting untuk memupuk semangat kesukanan, perpaduan, dan gaya hidup sihat dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Langkah ini sekali gus memperkukuh peranan kerajaan negeri dan wakil rakyat dalam menyokong agenda pembangunan sosial komuniti luar bandar, melalui pendekatan yang mesra rakyat dan berasaskan keperluan setempat.
Dengan pelaksanaan pembaikan tersebut, padang bola sepak Kampung Ratau dijangka akan terus berfungsi sebagai pusat utama bagi aktiviti belia, sekaligus memacu semangat kesukarelawanan dan keterlibatan aktif dalam kalangan mereka.
Comentários