top of page

Semangat Antanom sumber inspirasi perpaduan

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 2 min read

ree

9 Ogos 2025


TENOM: Rakyat negeri ini, khususnya generasi muda diseru supaya meneladani semangat perjuangan pahlawan Murut terbilang, Datuk Seri Panglima Ontoros @ Antanom, sebagai sumber inspirasi untuk memperkukuh perpaduan dan mempertahankan maruah negeri.


Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Antanom bukan saja simbol keberanian masyarakat Murut, malah pejuang sejati yang berjuang mempertahankan hak semua rakyat tanpa mengira kaum.


“Perjuangan Antanom tidak berasaskan sentimen suku bangsa, tetapi demi membela hak dan maruah semua masyarakat pada zamannya.

ree

“Jiwanya lebih besar daripada sempadan etnik,” katanya pada kemuncak Perayaan Pesta Ilau Kalimaran Kali ke-19 di Dataran Pekan Kemabong pada Sabtu.


Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Seri Dr.Joachim Gunsalam.


Hajiji berkata, perjuangan Antanom membuktikan betapa besarnya nilai sebuah tanah air dan harga diri rakyat yang wajar dipertahankan.


Menurutnya, walaupun lahir sebagai pahlawan Murut, semangat juang dan pengorbanannya terhadap negeri ini perlu menjadi milik bersama seluruh rakyat Sabah.


“Tenom yang kini pesat membangun sebagai sebuah daerah pelbagai etnik hanya akan terus makmur jika rakyatnya mengutamakan keharmonian dan kestabilan politik.


“Kekuatan perpaduan dalam kepelbagaian akan membawa keyakinan dan penghormatan kepada Sabah di peringkat nasional, sekali gus memastikan limpahan kemakmuran ekonomi dapat dinikmati secara adil dan menyeluruh.


“Sabah adalah rumah kita. Rumah ini hanya akan terjaga dengan baik jika diurus oleh kepimpinan yang benar-benar memahami dan menjiwai aspirasi rakyatnya,” tegasnya.


Hajiji turut menekankan bahawa kestabilan politik adalah faktor penting untuk memastikan dasar pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan lancar, selaras dengan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).


Beliau berkata, Warisan budaya perlu dipertahankan dan mengajak generasi muda memainkan peranan aktif memelihara seni, adat dan warisan nenek moyang agar tidak hilang ditelan arus kemodenan.


“Kemajuan teknologi tidak sepatutnya menjadi alasan untuk mengabaikan warisan yang menjadi identiti masyarakat. Nilai-nilai luhur budaya mesti diwarisi dari satu generasi ke generasi berikutnya.


“Semangat ‘Rumah Kita, Kita Jaga’ perlu terus disemarakkan,” katanya.


Menurut beliau, Kerajaan Negeri sentiasa menyokong penganjuran perayaan kebudayaan seperti Pesta Ilau Kalimaran kerana ia bukan sahaja memartabatkan warisan, malah mengukuhkan jati diri rakyat Sabah sebagai sebuah masyarakat berbilang kaum yang harmoni.


Hajiji berkata, pesta itu juga menjadi medan menyemarakkan semangat kebersamaan dan saling menghormati dalam kalangan rakyat pelbagai etnik, sekali gus memperkukuh asas kestabilan politik dan kemajuan negeri.


Perayaan Pesta Ilau Kalimaran Kali ke-19 itu diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan setiap etnik yang terdapat di kawasan ini termasuk etnik Lundayeh.


Lebih menyerikan lagi perayaan itu adalah perarakan budaya dari kumpulan dan persatuan kebudayaan dari kampung-kampung sekitar Daerah Kecil Kemabong.


Hadir sama Pemantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Flovia Ng, Ahli Parlimen Tenom Riduan Rubin, Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musa, ketua-ketua jabatan dan pemimpin-pemimpin masyarakat.


Caption:


1. Dr. Joachim menyempurnakan gimik perasmian dengan paluan gong tujuh kali sambil disaksikan oleh Rubin dan tetamu kehormat yang lain.


2. Dr. Joachim (tengah) menyampaikan hadiah kepada Johan Pertandingan Perarakan Seni Budaya Kalimaran sambil disaksikan oleh Rubin dan tetamu kehormat lain.



3. Dr. Joachim mewakili Ketua Menteri (tengah) dengan diiringi Ahli Dewan Undangan Kemabong (ADUN) Kemabong, Datuk Rubing Balang, menyantuni orang ramai dalam Pesta Ilau Kalimaran di Dataran Daerah Kecil Kemabong

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page