Kerajaan salur RM1.1 juta bangunkan Kampung dan Sekolah Angkat Madani di Kg Kiau
- Wartawan Nabalu News
- 13 hours ago
- 2 min read

9 Ogos 2025
KOTA BELUD: Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyalurkan peruntukan berjumlah RM1.1 juta bagi melaksanakan projek pembangunan Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani di Kampung Kiau, di sini.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi melaksanakan tujuh projek infrastruktur kecil di kampung berkenaan, manakala RM100,000 disalurkan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Kiau.
Beliau berkata, projek pembangunan Kampung Angkat Madani merangkumi projek-projek kecil menaik taraf jalan perumahan, jalan pertanian serta kemudahan awam di beberapa zon di Kampung Kiau Nuluh, Kampung Kiau Taburi dan Kampung Kiau Bersatu.
“Antara projek yang dilaksanakan termasuk menaik taraf jalan padang, dewan, klinik dan balai raya di Kampung Kiau Nuluh; membina parit di Zon Tebobon dan Hongkung
“Membina jalan dan culvert ke kawasan perkuburan di Kampung Kiau Taburi; serta pembinaan jalan komuniti dan sistem perparitan di Zon Tomoduh, Kampung Kiau Bersatu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Perasmian Program Pembangunan Pelancongan Melalui Gerakan Koperasi dan Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI Kampung Kiau, di Dewan Tamu Desa Kg.Kiau, di sini hari ini.
Ewon berkata, bagi Sekolah Angkat Madani pula, sebanyak RM100,000 diperuntukkan kepada PIBG SK Kiau untuk keperluan pembangunan sekolah tersebut.
“SK Kiau ialah sekolah angkat saya iaitu tempat saya bersekolah dari Darjah 1 hingga Darjah 6.
“Saya berharap dengan peruntukan ini dapat menyelesaikan sebahagian daripada keperluan pembangunan di kampung saya termasuk di SK Kiau,” katanya.
Beliau juga menyeru agar, penduduk kampung terus terus membangunkan sumber alam di kampung ini khususnya dalam sektor pertanian, pelancongan dan koperasi untuk merancakkan lagi pembangunan sosio ekonomi komuniti kampung.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato Sri Khairul Dzaimee Daud, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Noor Affifah Abdul Razak dan ketua-ketua agensi KUSKOP dan pemimpin-pemimpin kampung.
Comments