Keputusan tawaran kemasukan Tingkatan Enam diumumkan pada 3 Julai

27 Jun 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Murid lepasan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022 boleh mengetahui keputusan tawaran kemasukan ke Tingkatan Enam tahun 2023 pada 3 Julai (Isnin).
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan berkata murid boleh menyemak keputusan tawaran dan pendaftaran secara dalam talian atau di sekolah asal masing-masing.
"Semakan keputusan tawaran dan pendaftaran boleh dilakukan secara dalam talian menerusi pautan https://sst6.moe.gov.my/, manakala murid yang tidak mempunyai capaian Internet, boleh menyemak keputusan di sekolah asal masing-masing," katanya.
KPM juga memaklumkan bahawa murid yang tidak menerima tawaran ke Tingkatan Enam boleh membuat rayuan secara dalam talian atau melalui sekolah masing-masing mulai 3 hingga 17 Julai 2023.
"Keputusan permohonan rayuan kemasukan ke Tingkatan Enam Semester 1 Tahun 2023 akan dimaklumkan pada 24 Julai 2023 melalui portal yang sama atau dimaklumkan pihak sekolah bagi murid yang tidak mempunyai capaian Internet," jelasnya.
Bagi murid yang berjaya mendapat tawaran ke Tingkatan Enam, KPM menasihatkan mereka untuk melapor diri di Kolej atau Pusat Tingkatan Enam yang dinyatakan dalam surat tawaran mengikut jadual yang ditetapkan.
"Murid yang ditawarkan ke Tingkatan Enam perlu melapor diri pada 16 Julai bagi sekolah dalam negeri Kumpulan A dan 17 Julai bagi sekolah dalam negeri Kumpulan B, manakala pengambilan rayuan, tarikh lapor diri pada 25 Julai," katanya.
Menurut laman web KPM, negeri-negeri dalam Kumpulan A adalah Johor, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Sabah, manakala negeri-negeri dalam Kumpulan B adalah Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sarawak dan Wilayah Persekutuan.
Comments