Kerajaan belanja RM19.5 juta subsidi tiket penerbangan tahun ini
- nabalunews
- 5 hours ago
- 2 min read

5 November 2025
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) membelanjakan RM19.5 juta bagi menampung subsidi tiket penerbangan sepanjang tahun ini, melibatkan 39,744 tiket bagi laluan antara Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Labuan sempena musim perayaan utama.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, subsidi tersebut bersamaan RM491 bagi setiap tiket penerbangan yang layak, membolehkan penumpang hanya perlu membayar harga maksimum RM499, walaupun purata harga sebenar tiket adalah sekitar RM990.
“Subsidi ini telah dilaksanakan bagi musim perayaan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Hari Gawai dan Pesta Kaamatan, serta akan diteruskan untuk perayaan Krismas pada bulan depan,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Vivian Wong Shir Yee (PH– Sandakan) yang meminta kerajaan menyatakan purata kos tiket penerbangan sehala dari Kuala Lumpur ke Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu pada musim perayaan sekiranya program harga maksimum RM499 tidak dilaksanakan.
Menurut Anthony, pada tahun lalu pula, kerajaan telah membelanjakan RM11 juta bagi subsidi 26,993 tiket penerbangan yang melebihi harga siling RM599, dengan purata harga sebenar tiket ialah RM1,007.
“Kerajaan menanggung purata RM408 bagi setiap tiket, menjadikan harga maksimum yang dibayar penumpang hanya RM599,” jelasnya.
Dalam pada itu, katanya, MOT juga akan meneliti cadangan mewajibkan syarikat penerbangan untuk memaparkan jumlah subsidi tiket penerbangan yang diberi kerajaan sempena musim perayaan.
Beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan syarikat penerbangan bagi mencari mekanisme terbaik supaya penumpang mendapat makluman jelas mengenai jumlah subsidi yang mereka terima.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Vivian berhubung pelaksanaan projek penambahbaikan di Lapangan Terbang Sandakan, termasuk penambahan dua jejantas udara (aerobridge) dan peluasan balai ketibaan, Anthony berkata projek tersebut dijangka dapat dilaksanakan dengan lebih pantas.
“Kementerian sedang berbincang dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) selaku pengendali lapangan terbang untuk melaksanakan projek penambahbaikan, termasuk penambahan aerobridge dan kemungkinan membesarkan balai ketibaan.
“Projek ini dijangka dapat dilaksanakan dengan kadar lebih cepat melalui peruntukan daripada Dana Pembangunan Lapangan Terbang (ADF), yang ditubuhkan selepas perjanjian operasi baharu antara kerajaan dan MAHB dimuktamadkan hampir dua tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, dengan adanya ADF projek penaik tarafan yang tidak melibatkan kos besar boleh dilaksanakan secara lebih fleksibel dan berkesan.














