Kerajaan gesa media lindungi pekerja sambilan melalui Perkeso
- nabalunews
- Aug 15, 2024
- 1 min read

15 Ogos 2024
KUALA LUMPUR: Dalam usaha meningkatkan kesejahteraan pengamal media, khususnya mereka yang berstatus sambilan, kerajaan menggesa agar semua organisasi media di negara ini untuk mendaftarkan pekerja sambilan mereka di bawah skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, menegaskan bahawa langkah ini penting untuk memberikan perlindungan sosial yang komprehensif kepada para pekerja media sambilan yang sering kali menjalankan tugas di lapangan dengan risiko yang tinggi.
Jelas beliau, ketika ini kadar caruman tersebut ditanggung 90 peratus oleh kerajaan manakala 10 peratus lagi oleh BERNAMA bagi tempoh setahun bermula 1 Julai lepas.
"Harapan saya semua 'stringer' yang bekerja separuh masa tapi sebenarnya mereka bekerja lebih masa akan dapat perlindungan sosial yang lebih menyeluruh, di samping meningkatkan kefahaman dalam kalangan para wartawan atau pengamal media tentang pentingnya aspek keselamatan sosial."
Fahmi turut menekankan pentingnya meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengamal media mengenai kepentingan perlindungan sosial.
“Saya berharap program ini dapat diteruskan, sama ada melalui BERNAMA tahun depan ataupun melalui caruman sendiri oleh organisasi media," katanya berkata selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara BERNAMA dan Perkeso.
Dalam perkembangan lain, Fahmi turut menggesa platform media sosial untuk mengambil langkah proaktif dengan meletakkan label atau pemberitahuan pada setiap kandungan yang dijana oleh Kecerdasan buatan (AI)
Tambah beliau, semua pengendali platform media sosial harus bertanggungjawab terhadap sebarang insiden yang berlaku di platform mereka.
"Mereka perlu meletakkan tanda yang jelas untuk membolehkan pengguna membezakan antara kandungan asli dan kandungan yang dijana oleh AI,” tegas Fahmi.
Langkah ini diambil sebagai tindak balas terhadap insiden yang melibatkan beberapa individu, termasuk influencer media sosial, yang menjadi mangsa penyebaran video palsu di media sosial.


















Comments