KERAJAAN GRS HARGAI PERANAN WANITAKERAJAAN GRS HARGAI PERANAN WANITA
top of page
  • nabalunews

KERAJAAN GRS HARGAI PERANAN WANITA


3 JAN 2021


KOTA KINABALU: Ketua Srikandi BERSATU Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri dibawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana menghargai dan memandang tinggi peranan dan sumbangan wanita dalam pentadbiran termasuk di peringkat Majlis Daerah.


"Terima kasih diucapkan kepada Kerajaan GRS yang melihat peranan wanita dan memberi ruang kepada 30 peratus wanita sebagai ahli majlis daerah.


"Inilah bukti bahawa Kerajaan GRS menghargai wanita dan melihat sumbangan serta menerima buah fikiran daripada kaum wanita," katanya dalam satu kenyataan media disini,

hari ini.


Ahli Parlimen Beaufort itu juga turut menggesa agar kepimpinan Kerajaan Negeri terus memberi ruang kepada wanita untuk menyumbang peranan dalam urusan pembuatan dasar termasuk menempatkan wanita dalam agensi-agensi kerajaan.


"Seperti yang disasarkan dan diperjuangkan sebelum ini, bahawa kita mahu kepimpinan kerajaan kini meningkatkan jumlah penglibatan kaum wanita dalam kumpulan pembuat dasar kepada 30 peratus.


"Dapat dilihat kini misalnya di dua majlis daerah, iaitu di Putatan dan Beaufort yang telah mencapat 30 peratus sasaran penglibatan kaum wanita.


"Saya juga mengharapkan ada pertambahan lagi mana-mana agensi kerajaan supaya sasaran 30 peratus tercapai," katanya.


Jelas Azizah lagi, pembabitan lebih ramai wanita dalam majlis daerah nyata dapat memberi peluang kepada golongan itu untuk berada di barisan kepimpinan dan menyumbang idea bernas demi pembangunan dan kemajuan.


"Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan kita iaitu Datuk Seri Masidi Manjun kerana telah menetapkan satu garis panduan dalam melantik ahli-ahli majlis daerah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang melibatkan 30 peratus kaum wanita.


"Inilah bukti bahawa Kerajaan Negeri masa kini amat memandang tinggi kepada kaum wanita dan mengiktiraf peranan serta sumbangan wanita," katanya lagi.


Azizah turut menyeru agar semua kaum wanita terus meningkatkan keupayaan diri dari segi intelektual dan fizikal bagi terus kekal cemerlang dan mampu menyumbang kepada negeri.


"Usaha kita untuk memastikan penglibatan dan penyertaan wanita dalam jabatan, organisasi atau ahli majlis daerah masing-masing, wajar seiring dengan keupayaan kita.


"Untuk itu, saya ingin mengajak semua wanita untuk terus berfikiran positif, menjaga kesihatan diri, meningkatkan penguasaan ilmu pengetahuan dan sentiasa peka dengan perkembangan semasa," ujar beliau lagi.

bottom of page