Kerajaan jaga keseimbangan inflasi – Rafizi
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kerajaan jaga keseimbangan inflasi – Rafizi


30 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, kerajaan mengambil pendekatan untuk mengawal kadar inflasi bagi memastikan peningkatan inflasi yang tidak terkawal atau 'runaway inflation' daripada berlaku.


Beliau berkata, kerajaan mengambil maklum tentang kritikan beberapa pihak bahawa kadar inflasi negara telah mereda kepada dua peratus, tetapi tidak mencerminkan realiti harga barangan yang masih tinggi.


"Sebab itu apabila kita merangka sesuatu langkah, kita mengambil perhatian khusus tentang kesannya kepada inflasi nanti supaya kita mendapat keputusan terbaik, untuk memastikan keseimbangan antara kadar inflasi yang boleh diterima, dan pada masa sama kita dapat melihat kenaikan yang pantas dari segi pendapatan isi rumah," katanya.


Beliau turut menjelaskan bahawa langkah kerajaan dalam memperkenalkan dasar gaji progresif bagi sektor awam dan swasta merupakan salah satu usaha untuk mengawal keseimbangan inflasi.


"Jadi sebuah ekonomi yang mampan, yang pertumbuhan ekonominya robust ialah sebuah ekonomi yang dapat diimbangi daripada segi kadar inflasi yang tidak melonjak dengan cepat sehingga tidak terkawal, dengan pertumbuhan ekonomi dan gaji," ujarnya.


Media sebelum ini melaporkan kadar inflasi Malaysia pada bulan Julai 2023 terus mereda kepada 2.0% berbanding 2.4% pada bulan Jun 2023, mencatatkan penurunan 11 bulan berturut-turut.


Rafizi berkata, kerajaan berharap dapat mengekalkan momentum untuk bulan-bulan seterusnya.


"Pencapaian yang perlu kita teruskan ialah trend ini berterusan selama 11 bulan berturut-turut, bermakna risiko kenaikan harga barang yang menyebabkan masalah kos sara hidup seperti kita lihat tahun lepas, kini semakin berkurangan," katanya.


Dalam pada itu Rafizi berkata, kerajaan mengambil perhatian daripada pengalaman lepas, terutamanya bagaimana individu atau keluarga dalam kategori M40, terjatuh ke dalam kategori B40 akibat impak COVID-19.


Beliau berkata, kerajaan sedang melihat bagaimana kaedah pelaksanaan mekanisme indeks pautan (index linked), atau mewujudkan sistem pemindahan wang secara terus, yang dapat memberi respons kepada perubahan mengejut dalam ekonomi.


"Kita perlu mempunyai pangkalan data berpusat tentang perincian sosioekonomi isi rumah. Apabila kita mempunyai maklumat seperti itu - pendapatan, perbelanjaan dan sebagainya - maka lebih mudah untuk kita mewujudkan mekanisma tersebut," katanya.


"Kerajaan memang sedang mempertimbangkan index linked, kerana kita melihat ia sebahagian daripada reformasi kebajikan sosial. Tetapi ia perlu dilakukan secara berperingkat, dan kita harap sistem kebajikan sosial kita lebih responsif di masa akan datang," katanya lagi.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page