top of page

Kerajaan komited pastikan tiada usahawan PMKS tercicir daripada bantuan SME-UP: Ewon

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 2 min read

22 Julai 2026


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri komited memastikan tiada usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Sabah tercicir daripada menikmati bantuan pembangunan perniagaan melalui Program Bantuan SME-UP yang dilaksanakan secara berterusan sejak tahun 2020.


Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, kementeriannya melalui Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) sentiasa memastikan bantuan pembangunan keusahawanan disalurkan secara inklusif kepada PMKS di seluruh negeri, termasuk usahawan dan peniaga kecil yang sebelum ini belum pernah menerima sebarang bantuan daripada Kerajaan Negeri.


Beliau berkata, bagi memastikan lebih ramai usahawan mendapat manfaat, Program Bantuan SME-UP menyediakan bantuan dalam bentuk mesin dan peralatan, pembungkusan dan pelabelan, pensijilan Halal dan MeSTI, pendaftaran cap dagangan serta mesin retort.


“Selain penyediaan bantuan, usaha memperluaskan hebahan program turut dipergiatkan.


“Pada tahun ini, DIDR telah melaksanakan Program Outreach di 13 daerah di Sabah sepanjang Mac hingga Mei dengan kerjasama persatuan usahawan, agensi kerajaan serta pelbagai platform media sosial bagi memastikan maklumat berkaitan bantuan kerajaan dapat disampaikan secara lebih meluas kepada usahawan tempatan.


“Sehingga kini, seramai 93 usahawan dari daerah Kota Belud telah menerima manfaat melalui Program Bantuan SME-UP, termasuk 17 usahawan dari DUN Tempasuk,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.


Menurut Ewon, bantuan yang diberikan telah membantu usahawan meningkatkan kapasiti pengeluaran, menambah baik kualiti serta penjenamaan produk, memenuhi piawaian pensijilan dan keperluan pasaran, di samping meningkatkan daya saing serta kebolehpasaran produk mereka.


Beliau berkata, bagi tahun ini Kerajaan Negeri turut memperluaskan peluang kepada lebih ramai usahawan mikro untuk memohon bantuan di bawah Program Bantuan SME-UP.


Katanya, peniaga kecil yang mempunyai lesen perniagaan yang sah serta telah beroperasi sekurang-kurangnya enam bulan layak mengemukakan permohonan bagi kategori bantuan mesin dan peralatan, pembungkusan dan pelabelan, pensijilan Halal dan MeSTI, pendaftaran cap dagangan serta mesin retort.


“Langkah ini bertujuan memastikan lebih ramai usahawan PMKS di Sabah mendapat akses kepada bantuan pembangunan perniagaan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri, sekali gus meningkatkan produktiviti, memperkukuh daya saing dan mengembangkan perniagaan mereka.


“Kementerian akan terus menambah baik pelaksanaan Program Bantuan SME-UP dari semasa ke semasa, termasuk memperkukuh usaha promosi dan penyampaian maklumat agar lebih ramai usahawan, khususnya peniaga kecil yang berpotensi, dapat memanfaatkan inisiatif kerajaan dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page