top of page
nabalunews

KERAJAAN NEGERI SABAH PIMPINAN SHAFIE BERJAYA PERKUKUHKAN KEWANGAN YAYASAN SABAH: JAMALUL



1 April 2021


KOTA KINABALU: Bekas Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Jamalul Kiram Mohd. Zakaria menafikan dakwaan keterlaluan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kononnya baki wang milik Yayasan Sabah hanya tinggal RM60 juta selepas pentadbiran Parti Warisan Sabah (WARISAN).


Jamalul Kiram berkata, jumlah wang milik yayasan itu sebenarnya sebanyak RM460 juta termasuk RM300 juta di dalam anak syarikat pelaburan Innoprise Corporation Sdn. Bhd.


Tegasnya, sepanjang pentadbiran WARISAN, sejumlah besar wang dibelanjakan untuk membayar hutang yang ditinggalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) akibat tadbir urus yang salah.


“Contoh jelas ialah Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) yang bermula dengan kos RM530 juta tetapi melambung kepada RM850 juta.


“Yayasan Sabah tidak mempunyai pilihan selain membuat pinjaman RM300 juta untuk memastikan projek SICC siap,” katanya.


Katanya, beberapa lagi hutang ditinggalkan BN termasuk gaji staf Universiti Kolej Yayasan Sabah dan Kolej Teknikal Yayasan Sabah yang telah dibayar semasa era WARISAN.


Jamalul Kiram berkata, bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal tidak menganugerahkan konsesi balak kepada mana-mana syarikat kerana BN telah memberikan keistimewaan kepada beberapa pihak dengan kontrak pembalakan mencecah 50 dan 100 tahun.


Katanya, kartel pembalakan itu mengaut keuntungan melampau yang sepatutnya digunakan untuk pembiayaan biasiswa kepada pelajar Sabahan dan perkhidmatan kesihatan yang baik kepada rakyat di pedalaman.


Mengenai isu Rumah Yayasan Sabah, katanya, amat mengejutkan apabila ia ditinggalkan dalam keadaan usang ketika WARISAN mengambil alih pemerintahan.


“Rumah itu kemudiannya dibaik pulih dan dijadikan kediaman rasmi Ketua Menteri dan kini turut dijadikan rumah rasmi Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya.


Berikutan itu, Jamalul Kiram berkata, lebih baik NGO berkenaan, Gerakan Anti Rasuah Malaysia (GERAM) untuk membuat susulan saman yang difailkan Yayasan Sabah terhadap Tan Sri Musa Aman tahun lalu.


“Kenapa kes tersebut tiba-tiba sahaja ditarik balik selepas Gabungan Rakyat Sabah mengambil alih kerajaan?


“Bukankah kes beliau juga layak disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia?” soal beliau.

Comments


bottom of page