- Wartawan Nabalu News
Kerajaan Negeri tubuh Jawatankuasa Penyelaras Program Pembangunan Usahawan Sabah
2 Nov 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menubuhkan Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Negeri Sabah yang akan dipengerusikan bersama oleh Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Datuk Phoong Jin Zhe dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, penubuhan jawatankuasa ini bagi menangani isu pertindihan perancangan program pembangunan usahawan di Sabah antara kementerian, jabatan, agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Kerajaan Negeri juga akan memperhalusi cadangan dan idea Ahli Dewan Belia Sabah (DBS) untuk mewujudkan Hala Tuju Pembangunan Usahawan Sabah dalam masa 10 tahun dengan melibatkan semua pemegang taruh," katanya pada penutupan Persidangan DBS, Mesyuarat Pertama Penggal Pertama di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Tambah Hajiji, jawatankuasa ini akan dianggotai oleh beberapa kementerian dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan yang berperanan untuk menyelaras program-program keusahawanan di negeri ini termasuk pemberian dana.
Beliau juga berkata, Kerajaan Negeri dan belia senada dan sehaluan berkaitan Usul Infrastruktur Asas Luar Bandar dan akan memastikan tindakan sewajarnya diambil oleh kementerian yang bertanggungjawab.
Mengenai masalah bekalan air bersih dan elektrik di negeri ini, beliau berkata, Kerajaan Negeri tidak berdiam diri, sebaliknya telah mengambil tindakan dan usaha yang perlu bagi menyelesaikan masalah itu yang diwarisi daripada kerajaan lalu.
Beliau juga mahu penyertaan syarikat-syarikat tempatan Sabah dalam projek dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh PETRONAS mencapai 30 peratus pada tahun hadapan, berbanding hanya sebanyak 11 peratus pada masa ini.
Selain itu, beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri melalui Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBS) telah membina sebanyak 18 Arena Belia di seluruh daerah negeri ini, sebagai pusat para belia melaksanakan pelbagai aktiviti sama ada sukan ataupun aktiviti sosial.
Katanya, Ahli-ahli DBS perlu memainkan peranan menyebarluaskan mengenai kewujudan bangunan Arena Belia dan memanfaatkan kemudahan yang ada.
Beliau juga berharap Ahli-ahli DBS memainkan peranan sebagai jurucakap (spokesperson) bagi pihak Kerajaan Negeri dalam menyampaikan Hala Tuju Pelan Pembangunan SMJ ke setiap lapisan masyarakat di segenap pelosok daerah masing- masing.
"Ini penting kerana informasi mengenai Pembangunan SMJ 1.0 2021-2025 dan program-program bersasar dapat rakyat ketahui untuk kita bersama-sama membangunkan kesejahteraan ekonomi, sosial dan politik di negeri ini," tambahnya.
Hajiji turut mengumumkan pemberian sebanyak RM2,000 secara "one off" kepada semua 79 Ahli DBS.
Kommentare