Kerajaan Persekutuan komited untuk tangani masalah air di Sabah
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kerajaan Persekutuan komited untuk tangani masalah air di Sabah


25 Mei 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kerajaan Sabah akan mengemukakan senarai permintaan kepada Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan masalah air di negeri itu tanpa menjejaskan hak dan bidang kuasa negeri.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kementerian-kementerian berkaitan.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Lo Su Fui [GRS-Tawau] di Dewan Rakyat hari ini.


Lo Su Fui bertanya tentang komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan isu bekalan air di Sabah yang semakin teruk dan meluas, terutama semasa musim kemarau.


Armizan berkata, perundingan antara pihak-pihak berkenaan telah bermula selepas Perdana Menteri menyuarakan komitmen kerajaan dalam Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan baru-baru ini.


“Kerajaan Persekutuan akan berusaha menangani masalah air di Kelantan dan Sabah, meskipun ia membabitkan perbelanjaan besar,” katanya, memetik ucapan Anwar.


Armizan menambah, komitmen Kerajaan Persekutuan tidak akan mengganggu gugat hak, bidang kuasa dan kepentingan kerajaan negeri Sabah mengikut Senarai IIA Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.


“Air adalah salah satu bidang kuasa negeri. Jadi tidak perlu risau, Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Tambun (Anwar) akan sentiasa menghormati hak dan juga kepentingan negeri termasuklah bidang kuasa tambahan kepada Sabah dan Sarawak,” katanya.


Beliau juga menyenaraikan beberapa langkah jangka panjang yang telah dirancang oleh Kerajaan Sabah untuk mengatasi masalah air, antaranya kajian kelayakan dan reka bentuk konsep bagi Sistem Bekalan Air Kota Kinabalu Fasa III; pembinaan loji rawatan air Cinta Mata 2 di Tawau; projek bekalan air luar bandar sistem Balung dan sekitarnya; pemindahan pengambilan air loji rawatan air Segaliud di Sandakan; dan pembinaan empangan (off-river storage) di Beaufort.

bottom of page