Kerajaan Persekutuan mahu kembalikan kuasa autonomi Sabah, Sarawak dalam pendidikan, kesihatan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kerajaan Persekutuan mahu kembalikan kuasa autonomi Sabah, Sarawak dalam pendidikan, kesihatan


17 Mei 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan sedang meneliti keperluan untuk menyerahkan sebahagian kuasa autonomi dalam bidang pentadbiran pendidikan dan kesihatan kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak, sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata perkara ini sedang dibincangkan oleh Jawatankuasa Teknikal MA63, yang ditubuhkan untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan dengan perjanjian bersejarah itu.


Beliau berkata, pada masa ini, semua perancangan dan pengambilan pekerja dalam sektor pendidikan dan kesihatan dikendalikan oleh ibu pejabat di Putrajaya, tanpa mengambil kira keperluan dan keutamaan negeri-negeri di Borneo.


“Kita dapati banyak jawatan kosong dalam sektor-sektor ini di Sabah dan Sarawak, kerana pegawai-pegawai dari Semenanjung tidak mahu berkhidmat di sini, terutamanya di kawasan pedalaman. Ini menyebabkan masalah dalam penyampaian perkhidmatan pendidikan dan kesihatan kepada rakyat,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Apresiasi Lembaga Koko Malaysia (LKM) dan Majlis Hari Raya Aidilfitri di sini semalam.


Tambah beliau, dengan menurunkan kuasa autonomi kepada kerajaan negeri atau agensi di bawahnya, Sabah dan Sarawak boleh menguruskan sendiri hal ehwal pendidikan dan kesihatan, termasuk pembinaan sekolah dan hospital.


“Kita fikir kalau dapat dikembalikan (kuasa) dalam bidang pentadbiran bagi sektor pendidikan dan kesihatan kepada Sabah dan Sarawak khususnya, pengambilan pekerja jadi, kita dapat menentukan siapa yang akan mengisi kekosongan jawatan tersebut. Kekosongan jawatan mesti diisi dan mereka mesti bertugas di Sabah dan Sarawak.


“Apabila penurunan kuasa diberikan kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak atau agensi dibawahnya, kerajaan negeri boleh merancang keseluruhan aspek kesihatan dan pendidikan termasuk pembinaan hospital atau sekolah.


“Sekarang nak buat hospital semua direncana di Kuala Lumpur jadi, biarlah kerajaan negeri diberi kuasa merancang keseluruhan aspek pendidikan dan kesihatan, keutamaan ditentukan oleh negeri,” katanya ketika ditanya mengenai perkembangan perbincangan mengenai MA63.




photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page