Kerajaan pertimbang wujudkan pengesahan identiti permainan dalam talian
- nabalunews
- Oct 31, 2025
- 2 min read

31 Oktober 2025
PUTRAJAYA: Kerajaan sedang mempertimbangkan keperluan mewujudkan pelesenan atau pengesahan identiti bagi memastikan kanak-kanak tidak terdedah kepada kemudaratan dalam talian, khususnya melalui permainan dan aplikasi digital.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu susulan kebimbangan masyarakat terhadap keselamatan kanak-kanak akibat penggunaan pelbagai platform permainan dan aplikasi dalam talian yang semakin mudah diakses.
“Pada waktu ini, permainan dalam talian seperti Roblox dan lain-lain belum lagi dikenakan sebarang rejim pelesenan. Ketika ini pelesenan hanya terpakai kepada platform media sosial dan sistem pemesejan internet.
"Namun kerajaan sedang menilai langkah terbaik termasuk memastikan pengesahan identiti bagi mengelakkan kanak-kanak terdedah kepada kemudaratan dalam talian,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, kementeriannya melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti keseluruhan ekosistem permainan dalam talian supaya tindakan diambil kelak bersifat menyeluruh, bukan hanya tertumpu kepada satu permainan.
Menurutnya, beliau sendiri telah mengadakan pertemuan dengan dua wakil Roblox yang berpangkalan di Korea Selatan dan Australia untuk mendapatkan penjelasan mengenai langkah keselamatan dan had penggunaan bagi pemain bawah umur.
“Dalam pertemuan itu, saya maklumkan kerajaan memandang serius beberapa insiden yang berlaku, termasuk yang terbaru melibatkan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang mencederakan adiknya berusia enam tahun, selepas didakwa terpengaruh dengan permainan Roblox.
“Pihak Roblox memaklumkan bahawa mereka menghadkan beberapa fungsi kepada pemain berumur bawah 13 tahun seperti interaksi dan komunikasi dengan pengguna lain,” katanya sambil menegaskan masih ada aplikasi lain yang terlalu mudah diakses oleh kanak-kanak.
Selain itu, katanya, pihak Roblox kini sedang melaksanakan proses pengesahan umur menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan kerajaan melalui MCMC akan mengadakan perbincangan teknikal lanjut bagi memahami mekanisme tersebut.
Dalam pada itu, Fahmi menegaskan ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan anak-anak di dunia digital.
“Peranti bukan pengasuh, peranti bukan pengganti ibu bapa. Saya telah arahkan MCMC supaya dalam kempen Internet Selamat akan datang, peranan ibu bapa perlu ditekankan dengan lebih jelas,” ujarnya.
Fahmi berkata, kerajaan juga sedang mempertimbangkan penggunaan sistem pengesahan umur dan identiti Kenali Pelanggan Anda (eKYC) bagi memastikan kanak-kanak tidak terjebak menggunakan aplikasi digital yang tidak sesuai dengan usia mereka.
Menurut beliau, pendekatan itu diteliti susulan kes yang dilaporkan baru-baru ini melibatkan aplikasi OMI, di mana seorang kanak-kanak berusia 12 tahun menjadi mangsa serangan seksual selepas berkenalan dengan individu dewasa melalui platform tersebut.
“Saya telah minta MCMC memanggil pihak syarikat aplikasi terbabit untuk menjelaskan mekanisme keselamatan mereka,” katanya.















Comments