Kerajaan Sabah ambil inisiatif guna kewangan sendiri tangani isu air
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kerajaan Sabah ambil inisiatif guna kewangan sendiri tangani isu air


8 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mengambil langkah awal menggunakan kewangan sendiri terlebih dahulu bagi menangani krisis air di Sabah sementara menunggu peruntukkan Kerajaan Persekutuan.


Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya berkata, dalam perkembangan terkini, penyaluran peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan belum lagi dibuat.


“Namun demikian, kerajaan negeri Sabah bersetuju untuk memastikan Jabatan Air dapat memulakan program-program yang telah dirancang.


"Ini bukan isu teknikal. Hanya isu pemerolehan kewangan. Selepas mendapat keputusan daripada kabinet negeri Sabah, Jabatan Air bersedia untuk melaksanakan lapan inisiatif yang dipersetujui dengan Jawatankuasa Teknikal di peringkat Persekutua,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee. Dalam sidang tersebut, Yong bertanya tentang apakah perkembangan peruntukan pembangunan khas bagi isu bekalan air di Sabah yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri dan adakah sudah diterima serta sejauh manakah pelaksanaannya.


Jelas Shahelmey, Kerajaan Negeri telah membentangkan Taklimat Isu dan Cabaran Pengurusan Bekalan Air Terawat Negeri Sabah kepada Perdana Menteri Malaysia pada 1 Jun di, Putrajaya.


“Kerajaan negeri telah membentangkan 20 projek cadangan penyelesaian jangka pendek terpilih dengan anggaran jumlah keseluruhan kos RM300.25 juta.


“Susulan daripada itu, Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pasukan Petugas Khas Isu Bekalan Air Sabah Bil 1/2023 telah diadakan pada 13 Jun dan telah memperakukan 8 projek dengan jumlah kos RM185 juta daripada 20 projek yang telah dipohon


“Namun begitu, Kerajaan Negeri Sabah telah memohon pertimbangan Pasukan Petugas Khas untuk meluluskan kesemua 20 projek jangka pendek, kerana kesemua projek tersebut adalah saling berkait dan akan menyelesaikan isu air dalam jangka masa pendek Sabah secara menyeluruh,” katanya.


Shahelmy berkata, Jabatan Air Negeri Sabah telah memulakan kertas kerja penyediaan pra-pelaksanaan projek sebagai persediaan untuk pelaksanaan projek sejurus kelulusan peruntukan disalurkan.


Tambah beliau, Jabatan Air Negeri Sabah juga telah membentuk satu jawatankuasa khas untuk program pemulihan dan penstabilan tekanan air khususnya di kawasan Kota Kinabalu meliputi Tuaran, KK dan juga Putatan.


“Daripada kerja-kerja yang telah dilakukan (Pemulihan) pada bulan Jun 2023 sehingga kini, kita dapat melihat adanya peningkatan terhadap kestabilan tekanan air di kawasan-kawasan Kota Kinabalu dan ia telah menjadikan agihan bekalan air agak terkawal berbanding bulan-bulan sebelumnya,” katanya.


Beliau berharap, hasil daripada pelaksanaan projek-projek yang telah dirancang itu nanti agihan bekalan air di kawasan Kota Kinabalu dan beberapa tempat yang lain akan menjadi stabil.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page