top of page

Kerajaan Sabah komited dalam pembangunan belia – Hajiji

Wartawan Nabalu News

10 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor, menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk membangunkan belia sebagai aset dan golongan yang perlu diberi peluang dalam pembangunan ekonomi negeri.


Beliau berkata, kerajaan sentiasa berusaha untuk menambah baik dan meningkatkan keberkesanan strategi dan pendekatan dalam inisiatif yang memfokuskan pembangunan modal insan di kalangan para belia.


“Kerajaan juga sentiasa terbuka untuk mendengar aspirasi anak-anak muda dengan perkenalkan beberapa inisiatif yang dirangka dengan berpandukan syor dan pandangan kelompok sasar melalui pelbagai platform libat urus yang telah dilaksanakan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Perhimpunan Permotoran Dua Roda “Sabah Moto Day” siri ke-6 di Padang Kawad Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini pada Ahad. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan.


Menurutnya, pada tahun ini, Kementerian Belia dan Sukan Sabah diperuntukkan RM97.5 juta bagi pembangunan belia dan sukan. Bagi melahirkan pemimpin belia yang berkualiti tinggi, Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan sejumlah RM16.42 juta untuk melaksanakan Program Pembangunan Kepimpinan Belia yang meliputi aktiviti kesukarelawanan dan perpaduan sosial.


Beliau turut memuji program Perhimpunan Hari Moto Sabah yang disertai oleh belia dari Sabah juga dari Semenanjung, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan Brunei Darussalam.


Hajiji berkata, program tersebut dapat membantu mengeratkan sillatuhrahim sesama peserta, berkongsi kesedaran keselamatan jalan raya dan sekaligus menggalakkan belia menceburi sukan yang sihat bagi memastikan mereka tidak terlibat dalam perlumbaan haram.


“Adalah sesuatu yang baik perhimpunan ini turut memberi input berfaedah kepada semua peserta dengan menggabungkan program anti-dadah oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) iaitu taklimat “Ambil Dadah Tidak Cool” dan Ikrar Mat Moto Benci Dadah,” katanya.


Beliau juga gembira mendengar bahawa bersama-sama Kelab Bandar Belia Tuaran, satu sesi penyerahan sumbangan ke rumah-rumah anak yatim juga turut diadakan oleh penganjur dan para peserta yang terlibat.


“Ini merupakan amalan yang sangat mulia yang telah ditunjukkan oleh para belia. Syabas!” katanya.


Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page