top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kerajaan Sabah komited percepat transformasi digital di luar bandar


10 Mei 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah berusaha untuk mempercepatkan transformasi digital di kawasan luar bandar dengan memperbaiki infrastruktur komunikasi, menggalakkan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan memperkenalkan program latihan dan kemahiran digital.


Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim berkata, kerajaan negeri komited dalam usaha pendigitalan perkhidmatan selaras dengan inisiatif dan halatuju Sabah Maju Jaya.


“Hasil daripada kerjasama Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN), Sistem eJPKK telah siap dibangunkan dan telah digunapakai sepenuhnya oleh pihak Kementerian dan pejabat-pejabat daerah bermula Januari tahun ini.


“Dengan adanya sistem ini, ia memudahkan perlantikan JPKK, Pengeluaran Sijil Watikah, Pengurusan Pembayaran elaun JPKK dan maklumat kampung dapat diuruskan dengan berkesan,” katanya.


Jahid juga menyebut tentang beberapa sistem lain yang sedang digunakan oleh Kementerian dan pejabat-pejabat daerah seperti Sistem Aplikasi Profail Kampung (SAPKS), Sistem Lesen Perniagaan, Dashboard eKPLBS dan Dashboard Pemantauan Projek.


“Saya juga difahamkan bahawa terdapat dua dashboard yang telah dibangunkan iaitu Dashboard eKPLBS dan Dashboard Pemantauan Projek. Dashboard eKPLBS dibangunkan dengan tujuan untuk memaparkan informasi terkini mengenai ‘core bussines’ setiap bahagian/seksyen/unit di Kementerian. Manakala Dashboard Pemantauan Projek pula bertujuan untuk pihak pengurusan dan bahagian pembangunan mengetahui status projek di daerah,” jelasnya.


Menurut Jahid, kerajaan negeri akan terus merealisasikan “smart digital government” seiring dengan inisiatif kerajaan untuk menambahbaik sistem penyampaian perkhidmatannya melalui platform teknologi maklumat serta pendigitalan yang berlandaskan kepada konsep kerajaan digital melalui pendekatan 5a iaitu ‘accessible by anyone at any time, any where, by any mobile device’.


Beliau juga menyatakan bahawa kerajaan negeri sedar akan cabaran-cabaran yang dihadapi dalam usaha menerapkan pendigitalan di luar bandar, terutama di pejabat-pejabat daerah.


“Salah satunya adalah ketersediaan infrastruktur digital yang masih terbatas di beberapa daerah. Oleh kerana itu, pihak Kementerian dengan kerjasama agensi-agensi yang berkaitan sedang memperkuat infrastruktur digital di daerah yang sukar dijangkau dan mempercepat pengembangan teknologi digital untuk memberikan pelayanan yang lebih baik bagi masyarakat,” katanya.


Tambah beliau, pendigitalan dapat membantu meningkatkan kualiti hidup masyarakat di luar bandar dengan memberikan akses yang lebih baik ke layanan awam dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat.


תגובות


bottom of page