Kerajaan Sabah terus perkasa institusi adat Anak Negeri
- nabalunews
- 47 minutes ago
- 2 min read

20 Mei 2026
TONGOD: Kerajaan Negeri terus memperkukuh institusi Adat Anak Negeri di Sabah menerusi pembangunan infrastruktur serta penambahbaikan sistem pentadbiran adat, selaras agenda Sabah Maju Jaya yang memberi penekanan kepada kesejahteraan rakyat dan kestabilan sosial negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, komitmen itu diterjemahkan melalui pembinaan Mahkamah Anak Negeri di beberapa daerah termasuk Tongod, Putatan, Nabawan, Papar, Tamparuli dan Sook, selain projek baharu yang kini dalam proses tender di Kota Kinabalu serta Paitan.
Menurutnya, usaha berterusan itu membuktikan kerajaan negeri bukan sahaja memberi fokus kepada pembangunan ekonomi serta fizikal, malah turut menitikberatkan pengukuhan peranan institusi rakyat termasuk Mahkamah Anak Negeri dalam memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum dan budaya di Sabah.
“Usaha memperkukuhkan Mahkamah Anak Negeri perlu diteruskan dengan memastikan bidang kuasanya jelas dan mencukupi, selain membina struktur institusi yang mantap serta disokong pegawai berintegriti dan berwibawa.
“Penambahbaikan prosedur yang lebih moden, teratur dan berkesan juga perlu dilaksanakan selaras dengan keperluan semasa,” katanya ketika merasmikan Bangunan Mahkamah Anak Negeri Tongod, di sini pada Rabu.
Hajiji berkata, kerajaan negeri amat menghargai peranan Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri, Ketua Kampung serta seluruh warga Mahkamah Anak Negeri yang menjadi penghubung penting antara kerajaan dan rakyat di peringkat akar umbi.
Katanya, golongan itu memainkan peranan besar dalam memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara, khususnya di Sabah yang kaya dengan kepelbagaian kaum, adat dan budaya.
Beliau turut mengingatkan semua ketua adat dan warga Mahkamah Anak Negeri supaya terus meningkatkan prestasi dalam mengurus serta menyelesaikan aduan dan pertikaian dalam komuniti Anak Negeri.
“Mereka yang memegang jawatan berkaitan adat hendaklah memahami amalan adat dan undang-undang adat yang berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata pembinaan Bangunan Mahkamah Anak Negeri Tongod amat bermakna bukan sahaja kepada masyarakat daerah itu, tetapi juga seluruh rakyat Sabah kerana ia mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa institusi adat Anak Negeri.
Katanya, bangunan yang telah mula beroperasi pada awal tahun ini menjadi mercu tanda penting kepada Tongod dan dijangka meningkatkan kemudahan perkhidmatan kehakiman adat di daerah berkenaan.
“Institusi adat tidak boleh dilihat sekadar sebagai warisan lama, tetapi perlu terus diperkukuhkan sebagai institusi yang relevan dalam menjaga keharmonian masyarakat, menyelesaikan pertikaian adat, memelihara perpaduan komuniti serta membantu memperkukuh kestabilan sosial di Sabah.
“Kerajaan negeri juga akan terus memastikan seluruh rakyat Sabah mendapat akses kepada kemudahan asas, peluang ekonomi dan kualiti hidup yang lebih baik menerusi pembangunan wilayah yang seimbang,” katanya.
Menurut beliau, Tongod mempunyai potensi besar dalam sektor pertanian dan ekopelancongan selain dikenali sebagai ‘The Heart of Sabah’ kerana kedudukannya di tengah-tengah negeri ini serta kekayaan alam semula jadi, hutan tropika dan biodiversiti unik.
Katanya, keindahan alam semula jadi Tongod termasuk Imbak Canyon mampu menarik lebih ramai pelancong sekali gus membantu menjana ekonomi penduduk setempat.
Ketua Menteri optimis Tongod akan berubah wajah sekiranya cadangan pihak swasta dengan kerjasama kerajaan negeri untuk membangunkan pekan baharu di tanah seluar 1000 ekar menjadi kenyataan.















Comments