Kerajaan tidak benar eksport kayu balak – Johari
- nabalunews
- Aug 26, 2025
- 2 min read

26 Ogos 2025
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak membenarkan pengeksportan kayu balak, sebaliknya hanya digunakan bagi tujuan pemprosesan serta kegunaan dalam pasaran domestik.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ketetapan itu dibuat bagi menstabilkan penawaran bahan mentah tersebut, selain mengurangkan risiko penyahhutanan.
Katanya, kerajaan bagaimanapun membenarkan pengeksportan produk perabot berasaskan kayu termasuk balak.
"Kita tak benarkan kayu-kayu ini dieksport secara balak. Kita hendak kayu-kayu ini digunapakai untuk pemprosesan kegunaan dalam negara dan kalau ada produk perabot yang bersangkut dengan kayu, kita benarkan untuk eksport perabot tersebut.
"Sebab itu dalam industri kayu ini, kita merupakan salah satu kepada pengeksport perabot berasakan kayu kepada negara-negara luar. Setakat 2024, ia telah memberi nilai eksport RM22.3 bilion, tetapi kita tidak benarkan eksport kayu balak,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Tan Hong Pin (PH-Bakri) mengenai adakah kerajaan mempunyai rancangan untuk menghadkan eksport kayu balak bagi memastikan bekalan mencukupi untuk pasaran tempatan.
Johari yang juga menjalankan tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, kerajaan turut membiayai sebahagian daripada pinjaman untuk penanaman semula balak membabitkan keluasan ladang 147,000 hektar.
Menjawab soalan Tan sama ada kerajaan selain membenarkan import kayu balak dari negara luar, Johari berkata pengimportan bahan mentah itu dibenarkan bagi tujuan pemprosesan perabot atau bahan berkaitan pembinaan.
Bagaimanapun katanya, ia perlu berasal dari negara mengamalkan konsep perladangan mampan.
"Jika diambil dari negara yang ladangnya tidak mampan, dia potong dan buat penyahhutanan kemudian jual balak. Perabot kita mungkin tidak diterima dalam kategori yang mampan.
"Soal sama ada kita benarkan atau tak, ya (dibenarkan) tetapi mesti dari negara sumber yang eksport kepada kita untuk diproses menjadi perabot atau bahan berkaitan pembinaan dan datang daripada sumber yang mampan.
"Untuk kayu balak kita, kita tak benarkan ia dieksport sebagai balak," katanya.















Comments