top of page

Kerajaan tidak iktiraf tuntutan waris Sultan Sulu

  • Farah Salim
  • Mar 10, 2022
  • 3 min read


10 Mac 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan dan proseding timbang tara berkaitan arahan pembayaran pampasan RM62.59 bilion ($14.92 bilion) kepada waris Sultan Sulu yang diputuskan oleh Mahkamahh Arbitasi Paris Perancis.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Parlimen dan Undang-undang) berkata, ini kerana pelantikan Dr.Gonzalo Stampa sebagai penimbang tara telah dibatalkan dan tidak lagi sah dari segi undang-undang.


Beliau berkata, pada 29 Jun 2021 atas permohonan kerajaan Malaysia, Mahkamah Madrid telah membatalkan pelantikan Dr.Stampa sebagai penimbang tara dan kesemua tindakan dan keputusan yang dibuat oleh Dr.Stampa adalah terbatal.


“Mahkamah Madrid pada 13 Oktober 2021 memutuskan bahawa 'Partial Award on Jurisdiction' yang dikeluarkan oleh Dr.Stampa bertarikh 25 Mei 2021 adalah terbatal,” katanya bagi menjawab soalan Ahmad Hassan (Warisan-Papar).


Ahli Parlimen Papar itu meminta penjelasan daripada kerajaan mengenai arahan pembayaran pampasan kepada waris Sultan Sulu yang diputuskan oleh mahkamah di Perancis pada 28 Feb lalu dan bertanya sama ada kerajaan Malaysia melalui pejabat peguam negara telah menghantar wakil atau melantik peguam di Perancis untuk tujuan bantahan.


Wan Junaidi berkata kerajaan tidak berdiam diri dan mengambil tindakan perundangan sewajarnya, dengan memfailkan kes di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mana penuntut tidak hadir ke prosiding itu.


“Mahkamah Tinggi Sabah pada 14 Januari 2020 memutuskan Perjanjian 1878 tidak mengandungi apa-apa peruntukan timbang tara.


“Malaysia tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya dan penimbang tara tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyelesaikan perkara yang dibangkitkan.


“Keputusan Mahkamah Tinggi Sabah itu telah dibawa ke Mahkamah Madrid, Sepanyol untuk diiktiraf dan dikuatkuasakan bagi memberhentikan prosiding timbang tara di Sepanyol.


“Susulan itu, ‘Partial Award on Jurisdiction’ yang dikeluarkan oleh Penimbang Tara pada 25 Mei 2020 telah diketepikan,” katanya.


Bagaimanapun katanya penuntut telah membawa ‘Partial Award on Jurisdiction’ itu ke Perancis sebelum 13 Oktober 2021, bagi memintas keputusan Mahkamah Madrid tersebut.


Beliau berkata, tanpa mengetahui keputusan Mahkamah Madrid yang telah membatalkan pelantikan dan keputusan Dr Stampa, Mahkamah Perancis telah mengeluarkan ‘Exequatur Order’ yang mengiktiraf ‘Partial Award on Jurisdiction’ bertarikh 25 Mei 2020 itu.


“Berdasarkan ‘Exequatur Order’ itu, Dr Stampa telah memindahkan tempat (seat) timbang tara dari Madrid ke Paris bagi meneruskan prosiding timbang tara itu.


“Sebagai bantahan kepada tindakan Penimbang Tara terhadap ketidakpatuhan keputusan Mahkamah Tinggi Madrid, ketidakaturan proses, ketidakadilan serta penghinaan kepada kedaulatan undang-undang, kerajaan Malaysia memfailkan aduan jenayah terhadap Dr Stampa kepada Peguam Negara Sepanyol pada 14 Disember 2021,” katanya.


Katanya lagi, Malaysia juga telah memfailkan rayuan membatalkan ‘Exequatur Order’ itu dan permohonan menggantung pelaksanaannya.


Pada 16 Disember 2021, Mahkamah Rayuan Perancis membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia bagi penggantungan ‘Exequatur Order’ yang dikeluarkan pada 29 September 2021. Rayuan yang difailkan Kerajaan Malaysia masih belum diputuskan.


Wan Junaidi berkata kerajaan sentiasa peka dan bersedia untuk mencabar sebarang tindakan penguatkuasaan keputusan sekiranya dilaksanakan oleh penuntut pada bila-bila masa dan di mana jua bagi memastikan kepentingan kerajaan sentiasa terpelihara.


Pada 22 Januari 1878 , dua perjanjian dimeterai antara Sultan Mohamet Jamal Al Alam (Sultan Sulu) dengan Baron de Overbeck & Alfred Dent bertujuan untuk menjaga kepentingan syarikat mereka di Sabah.


Pencerobohan tentara kesultanan Sulu di Kg.Tanduo Lahad Datu telah berlaku pada 12 Feb 2013 yang mengorbankan 10 wira negara. Susulan daripada serangan itu, kerajaan Malaysia menghentikan serahan wang ihsan kepada waris Sultan Sulu.


Lanjutan daripada tindakan tersebut firma guaman yang mewakili warga negara Filipina yang mengaku waris Sultan Sulu memohon rundingan semula bayaran ihsan dibawah perjanjian 1878 dan memfailkan permohonan 'Superior Court of Justice' di Mahkamah Madrid, Sepanyol untuk melantik penimbang tara pada 31 Januari 2018.


Mahkamah Madrid Sepanyol memutuskan untuk melantik timbang tara Dr.Gonzala stampa pada 22 Mei 2019.


Wan Junaidi berkata, pada 30 Julai 2019 satu Notis Timbang Tara diserahkan kepada kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar dengan anggaran tuntutan melebihi AS$32 bilion.


Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page