Kerajaan Warisan Plus jatuh kerana Shafie dominan, tiada kerjasama yang telus - Chan Foong Hin
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kerajaan Warisan Plus jatuh kerana Shafie dominan, tiada kerjasama yang telus - Chan Foong Hin


Chan Foong Hin, ketika berucap pada ceramah itu.

15 November 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Calon Pakatan Harapan Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin berkata, kerajaan Warisan Plus jatuh pada tahun 2020 kerana Presiden parti itu Datuk Shafie Apdal bersikap dominan.


Chan yang juga penyandang kerusi Parlimen Kota Kinabalu dan Ketua Biro Dasar DAP berkata, ketiadaan kerjasama yang telus juga antara sebab kerajaan Warisan Plus jatuh.


“Sebagai contoh, ketika mengadakan rundingan pembahagian kerusi dengan parti-parti lain yang bekerjasama dengan Warisan pada Pilihan Raya Negeri lalu, rundingan kerusi itu seolah-olah kita meminta sedekah daripada Warisan … itulah antara sebab kejatuhan kerajaan Warisan Plus,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Perdana Harapan Parlimen Penampang di perkarangan Boulevard Hypermarket, Kepayan di sini, malam tadi.


Turut hadir dan menyampaikan ceramah Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Bernard Dompok, Timbalan Pengerusi DAP Malaysia Gobind Singh, calon Pakatan Harapan Penampang Datuk Ewon Benedick, Ketua PKR Penampang Joseph Alex Chang, Adun Kepayan Jannie Lasimbang, Timbalan Presiden UPKO Datuk Donald Peter Mojuntin dan Setiausaha Agung UPKO Nelson W Angang.


Chan berkata, kerjasama antara parti-parti komponen Pakatan Harapan iaitu DAP, UPKO dan PKR amat harmoni berbanding pengalaman bersama Warisan sebelum ini.


“Dengan Upko, kita ada semangat kekitaan dan perpaduan yang erat diantara satu sama lain. Walaupun kadang-kadang berlaku debat semasa membincangkan sesuatu perkara penting dalam mesyuarat namun kita sentiasa mencapai kata sepakat.


“Kita tidak ada satu parti yang dominan dalam Pakatan Harapan. Ini lain dengan apa yang kita alami bersama Warisan dahulu,” katanya.


Chan turut mengalu-alukan beberapa pemimpin veteran yang hadir pada ceramah itu termasuk mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kapayan Dr Edwin Bosi dan Adrian Lasimbang yang hadir memberikan sokongan padu kepada Pakatan Harapan.


Beliau turut mengingatkan para pengundi supaya tidak ‘terpancing’ dengan Borneo Bloc yang dilaung-laungkan parti Warisan pada PRU15 ini.


“Saya juga bertanya kepada Warisan, siapa calon Perdana Menteri mereka? Dedahkan kepada rakyat kerana mereka ingin tahu siapa calon Perdana Menteri daripada Warisan,” katanya.



photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page