Kereta Rempuh Motosikal, Penunggang Motosikal Maut
- nabalunews
- 6 hours ago
- 1 min read

9 Mac 2026
LABUAN: Seorang lelaki maut selepas motosikalnya dirempuh sebuah kereta SUV dalam kejadian di Jalan Rancha-Rancha, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 12.20 tengah malam itu, mangsa berusia 33 tahun disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Nukleus Labuan.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha LC 135 dan sebuah kenderaan jenis Toyota Harrier yang dipandu seorang wanita berusia 44 tahun.
Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan SUV yang datang dari arah Rancha-Rancha menghala ke Kerupang, memasuki laluan bertentangan.
“Akibat kejadian itu, kedua-dua kenderaan bertembung secara hadapan dan menyebabkan kecederaan parah pada penunggang motosikal.
“Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Nukleus Labuan, namun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1.15 pagi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohd Hamizi berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Nukleus Labuan untuk proses bedah
siasat.
“Pemandu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat kemalangan jalan raya.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi 10 serta denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak melebihi RM50,000 selain hilang kelayakan memegang lesen memandu,” katanya,
Sehubungan itu, Mohd Hamizi menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, memandu secara berhemah dan memastikan tahap keselamatan semasa berada di jalan raya bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.















Comments