Kereta Terbabas Rempuh Penunggang Motosikal
- nabalunews
- 1 minute ago
- 1 min read

30 Disember 2025
PENAMPANG: Seorang lelaki warga asing maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta terbabas dalam kejadian di Jalan Bundusan, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, kereta Toyota Vios berkenaan dipercayai hilang kawalan ekoran keadaan hujan lebat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, berdasarkan siasatan awal, kereta berkenaan bergerak menghala ke Towering melalui Jalan Bundusan.
Bagaimanapun katanya, kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh motosikal yang dinaiki mangsa warga asing berusia 33 tahun.
“Akibat kejadian berkenaan, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
“Manakala pemandu kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya hingga menyebabkan kematian.
Erwansyah turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi had laju ditetapkan.
Katanya, pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya peka dengan keadaan cuaca khususnya ketika hujan lebat dan waktu malam.
Sehubungan itu, Erwansyah meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan agar menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk membantu siasatan.
Katanya, maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133.


















Comments