Kereta terbabas sebelum terbakar, pasangan warga emas cedera
- nabalunews
- Aug 15, 2024
- 1 min read

15 Ogos 2024
KOTA KINABALU: Sepasang suami isteri warga emas cedera selepas kereta dinaiki terbabas dan terbakar di Jalan Taman Ria, Fasa 1, di sini, petang tadi.
Kedua-dua mangsa masing-masing berusia lingkungan 60-an yang cedera dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan pada 5.42 petang.
Katanya, sepasukan tujuh anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 5 kilometer dari balai.
“Sebaik tiba di lokasi, kebakaran membabitkan sebuah kereta jenis Honda Jazz telah terbakar sepenuhnya.
“Terdapat dua mangsa (suami isteri) iaitu pemilik kenderaan cedera dan dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba menjalankan pemadaman dan kebakaran dapat dikawal pada jam 5.59 petang.
“Operasi bomba ditamatkan pada jam 6.50 petang,” katanya.
Comments