top of page

Kereta Terbabas Sendiri, Penumpang Wanita Maut

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 1 min read

3 Februari 2026


SANDAKAN: Seorang penumpang wanita maut selepas kereta dinaiki terbabas sendiri sebelum merempuh sebatang pokok dalam kejadian di Jalan Utara berhampiram Hotel Livingston, di sini, pagi tadi.


Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa Siti Madina Hassan, 51, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah manakala dua lagi individu dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan susulan kejadian berkenaan pada jam 6.01 pagi.


Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu.


“Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan Proton Saga yang terbabas sebelum melanggar pokok.


“Terdapat tiga orang mangsa tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, seorang mangsa penumpang perempuan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.


“Manakala pemandu dan penumpang hanya mengalami kecederaan ringan dan telah diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS.


“Kedua-dua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sandakan menggunakan jentera EMRS dan ambulans KKM bagi mendapatkan rawatan lanjut.


“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.10 pagi,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page