top of page
nabalunews

Kerja baik pulih jambatan gantung Kampung Bokilong, Kadamaian hampir siap


28 Ogos 2024


KOTA BELUD: Kerja membaik pulih jambatan gantung Kampung Bokilong dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian kini sudah hampir siap.


Kerja membaiki kemudahan itu berjaya dilaksanakan secara bergotong royong oleh penduduk kampung melalui peruntukan yang disalurkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick.


Semalam, Pegawai Kemajuan Masyarakat Kadamaian, Juin Kolod yang mewakili pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian dan Pusat Khidmat ADUN N11 Kadamaian meninjau kemajuan kerja membaiki jambatan gantung Kampung Bokilong.


Beliau berpuas hati dengan tahap kemajuan kerja baik pulih berkenaan dan memuji kerjasama padu penduduk kampung yang sepakat bergotong royong menyiapkan kerja pembaikan itu yang kini hampir selesai.


Ketika kunjungan Ewon ke 3 kampung di Kadamaian pada 10 Februari lalu iaitu Kampung Lasou Tintapon, Kampung Bokilong dan Kampung Tamu Darat, beliau bersetuju menyediakan sejumlah peruntukan pembangunan untuk keperluan rumah ibadat, membaiki jambatan gantung, menaiktaraf dewan dan astaka.


Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, peruntukan itu adalah daripada peruntukan khas menteri, ADUN dan touchpoint.


Selain meninjau beberapa keperluan pembangunan kampung ketika itu, Ewon turut meluangkan masa menziarahi penduduk kampung yang terlantar sakit di rumah dan menyampaikan sedikit sumbangan touchpoint.


Ewon turut mengulangi komitmennya untuk terus memberikan fokus terhadap pembangunan Kadamaian selain melaksanakan tanggungjawabnya sebagai menteri KUSKOP dan Ahli Parlimen Penampang.


Katanya Pelan Pembangunan Kadamaian adalah asas untuknya membangunkan Kadamaian dan akan terus berusaha ke arah itu.

Comments


bottom of page