Polis Kota Marudu Turun Padang ke Bazar Pitas
- nabalunews
- Mar 5
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
5 Mac 2026
KOTA MARUDU: Polis Daerah Kota Marudu mengadakan program walkabout dan edaran risalah pencegahan jenayah di Bazar Ramadhan Pitas, petang semalam bertujuan mendekati masyarakat serta menjalinkan hubungan strategik antara pihak polis dan komuniti setempat.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin, hadir bersama barisan pegawai kanan IPD Kota Marudu, menekankan pentingnya kerjasama orang ramai dalam membanteras jenayah.
"Kami mahu peniaga dan pengunjung berasa selamat ketika berniaga dan membeli belah. Bulan Ramadan ini seharusnya menjadi bulan yang penuh keberkatan, bukan bulan peluang untuk jenayah," ujarnya.

Sepanjang sesi walkabout, pihak polis mengedarkan risalah pencegahan jenayah sambil memberikan nasihat keselamatan secara bersemuka.
Antara taktik jenayah yang perlu diberi perhatian ialah kecurian, penyeluk saku serta penipuan dalam talian (scam) yang semakin berleluasa. Peniaga turut diingatkan agar memastikan wang tunai disimpan dengan selamat, tidak meninggalkan gerai tanpa pengawasan dan segera melaporkan sebarang kejadian mencurigakan kepada pihak polis.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu menyeru orang ramai agar terus bekerjasama dengan pihak polis dalam menyampaikan maklumat berkaitan jenayah. Usaha seumpama ini penting bagi memastikan daerah Pitas kekal aman, selamat dan harmoni sepanjang bulan Ramadan.

Sebagai tanda penghargaan atas komitmen anggota bertugas, Ketua Polis Daerah turut meluangkan masa berbuka puasa bersama anggota Balai Polis Pitas.















Comments