top of page

Ewon tubuh task force pantau pelaksanaan langkah interim Pelabuhan Sepanggar, dialog lebih kerap dengan pemegang taruh

  • nabalunews
  • 2 minutes ago
  • 2 min read

5 Mac 2026


KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, satu pasukan khas (task force) akan ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan lapan inisiatif interim yang diperkenalkan untuk menangani isu kesesakan di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar.


Beliau berkata, pasukan khas itu akan memastikan pelaksanaan langkah-langkah interim berkenaan berjalan lancar selain menilai keberkesanannya dalam meningkatkan kecekapan operasi pelabuhan.


“Kerajaan negeri komited menangani isu kesesakan di Pelabuhan Sepanggar memandangkan pelabuhan tersebut pembolehubah utama kepada rantaian industri dan keusahawanan di Sabah.

“Selain infrastruktur jalan raya dan bekalan utiliti seperti air, elektrik dan internet, antara perkara utama yang akan ditanya oleh pelabur ialah kecekapan operasi Pelabuhan,” katanya selepas mempengerusikan mempengerusikan sesi libat urus bersama pemegang taruh pelabuhan di sini, hari ini.


Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah Datuk Thomas Logijin, wakil agensi dan jabatan kerajaan, syarikat konsesi serta operator pelabuhan, pengguna pelabuhan dan pemain industri yang diwakili oleh pelbagai persatuan.


Ewon berkata, sesi libat urus itu merupakan yang pertama diadakan oleh kementeriannya, namun bukan yang terakhir kerana pendekatan dialog secara terbuka akan terus dilaksanakan bagi memastikan isu berkaitan pelabuhan dapat ditangani secara bersama.

Dalam sesi berkenaan, katanya, MINDET turut membentangkan lapan inisiatif interim yang telah dipersetujui Kabinet Negeri, manakala syarikat pengendali pelabuhan, DP World turut memberi taklimat mengenai usaha penambahbaikan aset serta kecekapan operasi pelabuhan.


Beliau berkata, isu-isu yang melibatkan agensi kerajaan lain juga turut diperjelaskan oleh agensi berkenaan bagi memastikan semua pihak memahami situasi sebenar di lapangan.


Ewon menjelaskan bahawa, kesesakan di Pelabuhan Sepanggar ketika ini berpunca daripada beberapa faktor termasuk kelewatan projek pembesaran pelabuhan, peningkatan aktiviti industri yang menyebabkan pertambahan pergerakan kontena serta penggunaan pelabuhan itu untuk operasi Ro-Ro kenderaan yang pada asalnya tidak dirancang.


Ewon turut menyatakan agar semua pihak meletakkan kepentingan Sabah sebagai keutamaan dalam mencari penyelesaian kepada isu kesesakan pelabuhan Sepanggar tersebut.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page