- nabalunews
Kerjasama ASEAN-Malaysia penting untuk tingkatkan pelaburan dalam tenaga boleh baharu
15 Ogos 2024
LIMA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata kerjasama antara Malaysia dan negara-negara anggota ASEAN penting bagi merangsang pelaburan dalam sektor tenaga boleh baharu di negara ini.
Beliau menjelaskan bahawa Malaysia mempunyai potensi besar dalam sektor ini dan sumber yang mencukupi untuk dimanfaatkan oleh pelabur.
“Sebab itu banyak negara mahu melabur di Malaysia tetapi kita perlukan negara lain untuk melabur di Malaysia bukan saja bidang-bidang 'downstream' (hiliran) tapi dalam konteks membekalkan tenaga, 'the transmission line' (talian penghantaran), semua 'investment' (pelaburan) itu besar. Sebab itu kita perlu jalin hubungan dalam kalangan negara-negara ASEAN.”
Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, menyatakan bahawa dengan kerjasama yang erat, ASEAN berpotensi menjadi setanding dengan Kesatuan Eropah.
“Kalau kita sama-sama boleh melabur dalam bidang-bidang baharu, insya-Allah bukan saja Malaysia, tapi ASEAN itu sendiri akan jadi sebuah negara kuat seperti 'European Union' (Kesatuan Eropah).”
Beliau turut mengumumkan bahawa Malaysia sedia menambah bekalan tenaga hidro sebanyak 100 megawatt kepada Singapura melalui Projek Integrasi Tenaga Laos-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS-PIP) jika diperlukan.
Perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat bersama Menteri Kanan Singapura, Low Yen Ling di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga (EMM) APEC 2024 yang berlangsung dua hari mulai esok di Pusat Konvensyen Lima.
Fadillah juga menegaskan pentingnya meneroka model kewangan dan pembiayaan pelaburan dalam tenaga boleh baharu semasa EMM APEC 2024.
“Terdapat keperluan untuk pelaburan baharu dan ia menuntut permintaan tenaga yang baharu, namun, cabarannya ialah berkaitan tenaga bersih dan boleh baharu,” katanya.
LTMS-PIP, yang bermula pada 2022, merupakan perdagangan elektrik rentas sempadan berbilang peringkat pertama membabitkan empat negara ASEAN.
Comments