Kerjasama dengan Warisan perlu ambil kira pandangan pemimpin akar umbi
top of page
  • Farah Salim

Kerjasama dengan Warisan perlu ambil kira pandangan pemimpin akar umbi



27 April 2022

Oleh Farah Salim


KOTA KINABALU: Pandangan para pemimpin akar umbi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan (PH) Sabah perlu diambil kira sebelum menjalin kerjasama dengan parti-parti pembangkang termasuk Warisan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).


Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah, Mustapha Sakmud berkata, ini penting bagi memantapkan lagi persediaan untuk menghadapi pilihan raya akan datang.


“Kita mengalu-alukan kerjasama dengan mana-mana parti dalam menghadapi PRU-15 namun kerjasama tersebut perlu berlandaskan semangat sebenar Reformasi dan Perubahan yang diperjuangkan oleh Pakatan Harapan demi kepentingan rakyat.

“PH Sabah dalam Mesyuarat pimpinan bulan lepas telah memutuskan agar Jentera PH Sabah dimantapkan dan bersedia menghadapi PRU15.


“Proses rundingan kerusi akan dimulakan antara komponen PH dahulu. Rundingan dengan parti-parti pembangkang yang lain akan difikirkan jika perlu berdasarkan perkembangan dinamika politik negeri dan peringkat nasional,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Mustapha yang juga Setiausaha PH Sabah berkata, PH Sabah akan bertindak berdasarkan kuasa autonomi yang diberikan kepada setiap komponen parti.


“Setiap keputusan akan mengambilkira kepentingan ahli-ahli parti dan rakyat Sabah,” katanya.


Baru-baru ini, Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, PH bersedia untuk berunding dan berbincang dengan mana-mana parti politik untuk bekerjasama dalam menghadapi PRU-15.


bottom of page