Kerjasama Ibu Bapa-Guru Kunci Kecemerlangan Murid SK Melangkap
- nabalunews
- Dec 17, 2025
- 1 min read

17 Disember 2025
KOTA BELUD: Sekolah Kebangsaan (SK) Melangkap meraikan kecemerlangan muridnya menerusi Majlis Anugerah Murid Cemerlang 2025 yang diadakan di Dewan Kampung Melangkap Baru pada hari ini.
Majlis perasmian tersebut telah disempurnakan oleh Kaunselor Kasmah Hj. Rajikan, mewakili Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Belud.
Guru Besar SK Melangkap, Holen Sayaman, dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada semua murid yang mencatat prestasi cemerlang dalam bidang akademik, kokurikulum, dan sahsiah sepanjang tahun 2025. Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada para guru serta ibu bapa atas sokongan padu mereka.
“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat antara murid, guru, serta sokongan berterusan ibu bapa dan penjaga. Kami berharap anugerah ini menjadi pendorong kepada murid untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan yang lebih tinggi pada masa hadapan,” ujar Holen.
Beliau turut menjelaskan bahawa objektif utama program ini adalah untuk memberi pengiktirafan kepada murid yang cemerlang, memupuk budaya persaingan sihat, serta mendorong sikap berdisiplin, bertanggungjawab dan komitmen dalam pembelajaran. Ia juga bertujuan melahirkan murid yang seimbang dari segi intelek dan sahsiah melalui penglibatan aktif dalam aktiviti pembelajaran.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Melangkap, Anichlose Kesimin, pula menekankan komitmen berterusan PIBG dalam menyokong usaha sekolah melahirkan modal insan yang holistik. Menurutnya, “Kerjasama erat antara ibu bapa dan guru adalah kunci utama kejayaan murid.”
Berikut adalah senarai penerima Anugerah Tokoh SK Melangkap 2025:
· Tokoh Murid: Victoria Jiwol
· Tokoh Akademik Pra-Sekolah: Mohd Faaeq Naufal Johnecon
· Tokoh Sukan Pra-Sekolah: Jordell Habel Jonis
· Tokoh Nilam: Aestycia Jayticie Jameson dan Arryana Hessie Shahrizan
· Tokoh Bapa: Jobil Soupi
· Tokoh Ibu: Pouri Soupi
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar dan jamuan santai sebagai tanda penghargaan kepada semua yang terlibat.















Comments