Kerjasama penuh pejabat daerah pastikan projek Tamu Desa 2025 di Sabah siap tahun ini - Ewon
- nabalunews
- Oct 9
- 2 min read

9 Oktober 2025
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, menyatakan kerjasama penuh pejabat daerah di seluruh Sabah adalah sangat penting bagi memastikan kesemua projek Tamu Desa di negeri ini disiapkan sepenuhnya dalam tahun 2025.
Beliau berkata, prestasi pelaksanaan mengikut jadual akan memastikan peruntuhan baharu pada tahun hadapan dapat digunakan untuk projek-projek Tamu Desa yang baharu.
“Saya sangat mengharapkan semua 46 projek Tamu Desa di Sabah yang telah diluluskan bagi tahun ini dapat disiapkan selewat-lewatnya Disember ini.
“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerima banyak permohonan baharu Tamu Desa dan kita bercadang peruntukan tahun hadapan untuk melaksanakan projek-projek baharu ini yang akan bergantung kepada prestasi pelaksanaan projek-projek yang dilaksanakan pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pelaksanaan Projek Tamu Desa Sabah 2025 di Pejabat Pembangunan Negeri Sabah, di sini, malam tadi.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, pegawai-pegawai kanan KUSKOP serta wakil-wakil agensi dan pegawai-pegawai pejabat daerah.
Menurut Ewon, sebanyak RM10 juta peruntukan tambahan telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan Malaysia pada 23 September lalu bagi pelaksanaan Program Penyelenggaraan Gerai-Gerai Kecil (Tamu MADANI) di Sabah bagi tahun 2025, selaras dengan pengumuman Perdana Menteri semasa merasmikan Program MADANI Rakyat Sabah pada Mei yang lalu.
“KUSKOP disaran untuk mengoptimumkan baki peruntukan sedia ada dan mempercepat pelaksanaan kerja penyelenggaraan serta pembangunan Tamu MADANI (Tamu Desa) agar semuanya dapat disempurnakan dalam tahun ini,” katanya.
Sehingga kini, sebanyak 46 tapak telah dikenal pasti bagi pelaksanaan Program Pembangunan Premis Tamu Desa (Tamu MADANI) di Sabah bagi tahun 2025.
Surat pelantikan sebagai Pegawai Penguasa telah diserahkan kepada pegawai daerah yang menjadi agensi pelaksana bagi 39 projek, manakala lima lagi surat pelantikan diserahkan pada mesyuarat semalam untuk projek di Ranau, Putatan, Sandakan, Keningau dan Telupid.
“Saya menghargai kehadiran semua Pegawai Daerah dan ahli mesyuarat walaupun ia diadakan pada waktu malam. Ini menunjukkan komitmen kita bersama untuk memastikan pelaksanaan projek Tamu Desa tahun ini berjaya,” katanya.


















Comments