Kerosakan Float Valve, Punca Limpahan Air
- nabalunews
- May 1
- 1 min read

1 May 2025
KOTA KINABALU: Insiden limpahan air di Bangunan Menara Kinabalu pada Rabu, disebabkan oleh kerosakan komponen ‘float valve’ tangki simpanan sistem pencegah kebakaran (wet riser) yang terletak di aras 11 Blok A.
Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam kenyataannya berkata, kerosakan alat berkenaan menyebabkan 34,000 liter air yang dipam tanpa henti selama 45 minit melimpahi tangki dan mengalir ke ruang pejabat dari aras 11 hingga tujuh.
“Insiden itu turut mengakibatkan 2,588 meter persegi (sqm) kawasan pejabat dibanjiri air, iaitu 864 sqm di aras 11, 720 sqm (aras 10), 580 sqm (aras 9), 290 sqm (aras 8) dan 145 sqm (aras 7).

“Air akibat limpahan berkenaan turut mengalir di tangga kecemasan dan kawasan lif bangunan ketika kejadian pada jam 12.25 tengah hari.
“Pam air sistem bekalan air paip mengepam air masuk secara automatik dan secara berterusan ke tangki wet riser.
“Kelewatan pihak syarikat Pengurusan Fasiliti, Sinar Uni-Resources Sdn Bhd untuk menutup pam air mengakibatkan air melimpah dengan banyak hingga menyebabkan ruang pejabat ditakungi air.
“Dianggarkan lebih kurang 34,000 liter air dipam secara berterusan dalam tempoh 45 minit yang mengakibatkan limpahan air tersebut,” kata kenyataan itu.
Menurutnya, komponen yang rosak itu sudah digantikan serta-merta dan kerja-kerja pembersihan selesai dilakukan pada jam 11.30 malam, 30 April lalu.
Komentar