Kes Belasah Penguatkuasa: Tiga Lelaki Termasuk Remaja Ditahan
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

9 Mac 2026
SANDAKAN: Tiga lelaki termasuk seorang remaja berusia 14 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian membelasah anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Sandakan (MPS).
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, ketiga-tiga suspek yang merupakan warga Filipina itu ditahan pada Sabtu lalu di beberapa lokasi berasingan iaitu di Batu 8, Kampung Bariawa dan kawasan setinggan Kampung Melayu.
Katanya, tangkapan dibuat susulan laporan polis yang dibuat oleh anggota penguat kuasa MPS yang terlibat dalam kejadian berkenaan Jumaat lalu.
“Hasil pemeriksaan air kencing mendapati semua suspek negatif dadah.
"Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka mengaku terlibat dalam kejadian berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 186, Seksyen 332 dan Seksyen 147 Kanun Keseksaan.











