Kes demam denggi meningkat, satu kematian dilaporkan
14 September 2024
KUALA LUMPUR: Jumlah kes demam denggi dilaporkan meningkat kepada 1,870 kes pada Minggu Epidemiologi (ME) 36 iaitu pada tempoh 1 hingga 7 Sept berbanding 1,765 kes pada minggu sebelumnya dengan satu kematian direkodkan akibat komplikasi.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga ME 36 sebanyak 98,442 kes berbanding 82,485 kes bagi tempoh sama tahun 2023.
“Terdapat 89 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 59 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2023,” katanya dalam kenyataan.
Bilangan lokaliti ‘hotspot’ yang dilaporkan pada ME 36 sebanyak 53 berbanding 64 pada minggu sebelumnya, lapor Bernama.
Beliau berkata daripada 53 lokaliti yang dilaporkan, 37 di Selangor, enam di Kuala Lumpur dan Putrajaya, masing-masing empat di Negeri Sembilan dan Perak serta dua di Kelantan.
Dr Muhammad Radzi berkata bagi survelan chikungunya, terdapat dua kes direkodkan pada ME 36 dan tiada wabak chikungunya dilaporkan pada minggu itu.
Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini ialah 72 kes.
Bagi survelan zika, Dr Muhammad Radzi berkata sebanyak 1,870 sampel darah, lapan sampel urin dan tiga sampel cairan serebrospinal telah dijalankan saringan dan keputusannya negatif.
Comments