Kes HFMD meningkat di Sabah
- nabalunews
- Apr 30
- 1 min read

30 April 2025
KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengesahkan peningkatan penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) pada tahap membimbangkan di Sabah.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Dr Maria Suleiman berkata, sepanjang Januari hingga 19 April tahun ini, sejumlah 4,385 kes dilaporkan dikesan berlaku di negeri ini.
Katanya, 83 peratus daripada kes berkenaan melibatkan kanak-kanak berusia di bawah tujuh tahun.
“Lima daerah mencatat jumlah kumulatif tertinggi iaitu Kota Kinabalu (705 kes), diikuti Papar (578 kes), Penampang (450 kes), Keningau (431 kes), dan Tawau (262 kes).
“Majoriti kes adalah ringan dan hanya memerlukan rawatan pesakit luar dan setskat ini, tiada kes dirujuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU) atau kematian dilaporkan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Dr Maria berkata, peningkatan kes berkenaan turut menyebabkan lima sekolah menerima arahan penutupan kelas selepas kluster HFMD dikesan di 10 sekolah.
Katanya, jangkitan banyak dilaporkan berlaku di rumah atau pusat pendidikan awal seperti taska, tadika dan pra-sekolah.
“Langkah kawalan sudah diambil termasuk siasatan kes, persampelan makmal, promosi kesihatan dan pemeriksaan premis berisiko berpandukan garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Pemeriksaan ini menilai tahap kebersihan dan keberkesanan disinfeksi terutama dalam populasi berisiko,” katanya.
Sehubungan itu, Dr Maria mengingatkan ibu bapa agar memastikan tahap kebersihan anak-anak terjaga termasuk mencuci tangan dengan sabun selepas menggunakan tandas dan sebelum makan.
“Seain itu, para ibu bapa juga disaran untuk membersihkan alat mainan serta barangan peribadi secara berkala.
“Cawan, tuala, dan berus gigi tidak boleh dikongsi. Kanak-kanak yang bergejala perlu segera mendapatkan rawatan dan tidak dibenarkan ke pusat jagaan atau tempat awam.
“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut berhubung pencegahan HFMD melalui laman infosihat.moh.gov.my atau Facebook KKM dan JKNS,” katanya.
Comments