top of page
  • Writer's pictureMarryan Razan

Kes mati mengejut di PPV Kompleks Sukan Keningau



23 Ogos 2021

Oleh Marryan Razan


KENINGAU: Seorang lelaki warga asing yang menghadiri temujanji vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks Sukan Keningau ditemui mati di bawah pokok luar kompleks itu.


Ketua Polis Daerah Keningau DSP Shahrudin Mat Husain berkata, pada 22 Ogos (Ahad) jam lebih kurang 09.30 pagi, Bilik Gerakan IPD Keningau menerima maklumat dari anggota polis IPD Keningau yang menjalankan tugas kawalan lalulintas di PPV Kompleks Sukan Keningau mengatakan ada seorang lelaki rebah dipercayai meninggal dunia di bawah pokok di luar kawasan itu.


“Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan pegawai perubatan dari Hospital Keningau tiba di lokasi memberikan bantuan kecemasan dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.


“Mayat mangsa tersebut seorang lelaki warga asing berusia 57 tahun telah dihantar ke Hospital Keningau oleh pasukan Covid-19 PDRM/ KKM daerah Keningau untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.


Shahrudin berkata, siasatan awal mendapati mangsa berjalan kaki dari kediaman di Kampung Pampang Keningau ke PPV Kompleks Sukan Keningau untuk hadir temujanji vaksin melalui aplikasi Mysejahtera.


“Sampai di lokasi, mangsa telah duduk berehat di bawah pokok di luar kompleks itu. Mangsa tiba-tiba rebah di tempat kejadian. Tiada sebarang unsur jenayah dikesan dan kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut,” katanya.

Comments


bottom of page