top of page

Kes 'phone scam' catat kerugian RM440.9 juta - Polis

nabalunews

12 Ogos 2024


KUALA LUMPUR: Rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 8,011 kes 'phone scam' atau penipuan telefon disiasat PDRM membabitkan nilai kerugian RM440.9 juta sepanjang 2021 hingga 2023.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata daripada jumlah itu, 448 kes direkodkan berkait penipuan telefon oleh sindiket menyamar kakitangan Pos Laju membabitkan kerugian RM27.1 juta.


Katanya, untuk tempoh sepanjang tahun ini sehingga Julai lalu pula, sebanyak 1,411 kes penipuan telefon disiasat PDRM dengan nilai kerugian mencecah RM64.4 juta.


"Daripada jumlah itu, 87 kes adalah berkaitan penyamaran sebagai kakitangan Pos Laju dengan nilai kerugian RM2,999,714.42," katanya berucap pada Majlis Kempen Kesedaran Penipuan Bungkusan Bersama Pos Malaysia dan Whoscall di ibu pejabat Pos Malaysia di sini, hari ini.


Turut hadir, Pengarah Operasi Pos Malaysia, Zaini Yahman dan Ketua Pegawai Operasi Gogolook, Manwoo Joo.


Pada majlis itu, turut diadakan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Pos Malaysia dan Whoscall untuk bersama-sama bekerjasama menjayakan kempen berkenaan.


Ramli berkata, landskap penipuan dalam talian sentiasa berkembang dan penipu sentiasa mencari cara baharu untuk menyusup ke dalam kehidupan harian rakyat Malaysia.


"Ditambah dengan pengenalan pelbagai teknologi canggih termasuk kecerdasan buatan (AI), PDRM menjangka kes penipuan dalam talian akan terus meningkat.


"Sebagai contoh, pada 2022, sebanyak 25,479 kes penipuan dalam talian disiasat PDRM dengan nilai kerugian RM851.12 juta.


"Pada 2023, jumlah ini meningkat 35.4 peratus kepada 34,495 kes dengan nilai kerugian mencecah RM1.21 bilion," katanya.


Ramli berkata, untuk tujuh bulan pertama tahun ini, sebanyak 18,660 kes penipuan dalam talian disiasat PDRM dengan nilai kerugian sebanyak RM758.4 juta.


"Berdasarkan rekod kes ini, PDRM percaya menjelang akhir tahun ini, jumlah kes direkodkan akan sekurang-kurangnya menyamai jumlah kes pada 2023," katanya.


Ramli berkata, peningkatan jumlah kes ini menjadi cabaran kepada PDRM untuk terus meningkatkan usaha bagi memastikan kes jenayah dalam talian dapat dikurangkan.


"Cabaran ini juga yang mendorong PDRM meneroka semua kemungkinan untuk menyebarkan mesej anti-penipuan dan menubuhkan mekanisme perlindungan bagi orang ramai untuk mengelak menjadi mangsa penipuan.


"Kerjasama yang terjalin dengan Whoscall adalah inisiatif berdasarkan kecanggihan teknologi dalam mencegah jenayah komersial.


"Justeru, penting bagi kita memanfaatkan teknologi bagi menyokong usaha ini kerana ia dapat memberikan hasil yang lebih berkesan," katanya.


Sehubungan itu, katanya, PDRM menyarankan orang ramai memuat turun aplikasi Whoscall dan menggunakannya sebagai mekanisme pencegahan jenayah komersial.


Katanya, kerjasama yang terjalin antara Pos Malaysia dan Whoscall yang dimeterai semalam mencerminkan komitmen kedua-dua pihak membantu PDRM memerangi jenayah komersial.


"Kerjasama dan sokongan diberikan ini adalah manifestasi perjanjian antara pihak awam dan PDRM untuk memastikan keselamatan serta kesejahteraan Malaysia sentiasa terjaga," katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page