Kes Zara Qairina: Inkues Bermula 3 September Depan
- nabalunews
- Aug 18, 2025
- 1 min read

18 Ogos 2025
KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner menetapkan pendengaran inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir akan bermula pada 3 September depan.
Koroner Azreena Aziz menetapkan pendengaran akan dijalankan pada 3 dan 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September dan 22 hingga 30 September.
Tarikh itu ditetapkan pada prosiding sebutan inkues yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dari Jabatan Peguam Negara (AGC) selaku pegawai pengendali yang diketuai TPR Mohd Fairus Johari dari AGC Putrajaya.
Beliau dibantu tiga TPR dari AGC Sabah iaitu TPR Dana Arabi Wazani, TPR Afiq Agoes dan TPR Dacia Jane Romanus.
Ketika prosiding, Mohd Fairus memberitahu Mahkamah Koroner seramai 195 deponen atau saksi dikenal pasti untuk inkues berkenaan.
Bagaimanapun, katanya jumlah yang dipanggil akan diteliti semula dan senarai baharu akan dimaklumkan kepada Mahkamah Koroner sebelum inkues bermula pada 3 September depan.
Sementara itu, ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat juga dijangka antara saksi yang akan dipanggil pada prosiding inkues bagi mengenal pasti punca kematian mangsa.
Perkara itu dimaklumkan peguam mewakili keluarga arwah Zara, Hamid Ismail sambil menegaskan, semua yang dipanggil polis sebelum ini termasuk guru dan pelajar.















Comments