Kestabilan sebenar negara terletak pada perpaduan rakyat – PM Anwar
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

17 Mac 2026
KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kestabilan sebenar negara terletak pada perpaduan rakyatnya dan komitmen bersama untuk membina sebuah negara yang makmur dan berdaya tahan.
Beliau berkata dalam dunia yang berdepan pelbagai cabaran semasa dan global, kekuatan negara bukan sahaja bergantung kepada hasil ekonomi tetapi juga semangat muafakat dalam kalangan rakyat.
Menurutnya, kunjungan beliau ke Sabah baru-baru ini memberi peluang untuk menyantuni pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pimpinan tempatan, penjawat awam, peniaga kecil dan golongan belia yang disifatkan sebagai harapan masa depan negeri dan negara.
“Sabah mengingatkan kita bahawa kekuatan Malaysia bukan sekadar pada hasil bumi, tetapi pada keharmonian rakyat yang hidup dalam semangat muafakat dan saling menghormati.
“Kekuatan itu juga termasuk komitmen Kerajaan Madani untuk terus melaksanakan tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) demi kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini.
Semasa lawatannya ke Sabah pada Ahad, Perdana Menteri menghadiri perasmian Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2026 serta Konvensyen Mini Keadilan dan merasmikan Mesyuarat Agung Cawangan Peringkat Negeri Sabah.
Beliau turut melawat Bazar Ramadan di Universiti Apartment (UA) di Sepanggar sebelum mengakhiri lawatannya dengan menghadiri Majlis Berbuka Puasa Madani bersama rakyat Sabah.















Comments