Ketua Hakim Negara adakan kunjungan hormat kepada Tun Juhar
28 Ogos 2024
KOTA KINABALU: Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, di Istana Seri Kinabalu, baru-baru ini.
Kunjungan ini bertujuan membincangkan pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman bagi Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak serta mempersembahkan calon-calon yang berpotensi dari kedua-dua negeri tersebut.
Tengku Maimun menyatakan bahawa proses ini adalah sebahagian daripada mekanisme pentadbiran bagi pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, yang memerlukan persetujuan Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963.
Selain itu, perbincangan turut diadakan mengenai perkembangan dan penambahbaikan badan kehakiman, khususnya di Sabah.
Pertemuan ini adalah kali pertama Tengku Maimun bertemu dengan Juhar sejak beliau dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 2 Mei 2019.
Kunjungan ini turut dihadiri oleh beberapa tokoh kehakiman termasuk Mantan Peguam Besar Sarawak, Datuk Abdul Razak Tready, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Datuk Abdul Rahman Sebli, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Datuk Amar Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Datuk Nallini Pathmanathan dan Setiausaha Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, Salinah Ismail.
Comments