top of page

Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Dilantik Ahli Program CEO@Faculty FST UMS

  • nabalunews
  • 52 minutes ago
  • 2 min read

11 Mac 2026


KOTA KINABALU: Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn Bhd, Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar dilantik sebagai ahli Program CEO@Faculty di Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Malaysia Sabah (UMS).


Menurut kenyataan UMS, pelantikan tersebut disampaikan Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor dalam satu acara yang berlangsung di pejabat beliau di Bangunan Canselori UMS, pada Isnin.


“Program CEO@Faculty ini merupakan satu inisiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi bagi merapatkan jurang antara dunia akademia dan industri.


“Program ini menghubungkan ketua pegawai eksekutif serta pemimpin industri dengan institusi pengajian tinggi bagi berkongsi pengalaman kepimpinan, memberi bimbingan kepada pensyarah dan pelajar serta menyumbang kepada pembangunan kurikulum yang lebih selari dengan keperluan industri semasa.”


Demikian menurut kenyataan tersebut yang dikeluarkan di sini, pada Rabu. Turut hadir menyaksikan penyampaian pelantikan itu Pengerusi Lembaga Pengarah Sabah Electricity, Saadiah Aziz.


Dalam pada itu, UMS dalam kenyataan yang sama memberitahu, pelantikan Datuk Yaakob sebagai ahli Program CEO@Faculty dilihat bertepatan dengan kekuatan fakulti FST dalam bidang sains, teknologi dan kelestarian alam sekitar, khususnya dalam pembangunan teknologi tenaga serta penerokaan penggunaan tenaga hijau.


“Melalui program ini, FST UMS berhasrat memperkukuh hubungan strategik dengan industri tenaga, khususnya Sabah Electricity, bagi memperluas kolaborasi dalam pembangunan program akademik baharu, peluang penyelidikan serta inovasi termasuk pembangunan modal insan yang berdaya saing.


“Selain memberikan pandangan industri dalam pembangunan kurikulum dan aktiviti akademik, Datuk Yaakob juga dijangka terlibat dalam beberapa inisiatif bersama pelajar dan pensyarah.


“Antaranya termasuk sesi perkongsian kepimpinan industri, perbincangan strategik berkaitan sektor tenaga serta penerokaan peluang kerjasama dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan teknologi tenaga lestari.


“Pelantikan ini juga diharap membuka lebih banyak ruang kerjasama antara UMS dan industri dalam usaha menyokong agenda pembangunan tenaga mampan serta melahirkan graduan yang lebih bersedia menghadapi cabaran industri masa hadapan, khususnya di Sabah,” tambah kenyataan itu lagi.


Turut hadir Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UMS, Prof. ChM. Ts. Dr. Coswald Stephen Sipaut @ Mohd Nasri; Dekan FST, Prof. Ts. Gs. Dr. Rodeano Roslee; Timbalan Pengarah Pusat Kolaborasi dan Libatsama Industri UMS, Prof. Madya Dr. Chin Pie Yee; dan Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa FST, Ts. Dr. Mohamad Zul Hilmey Makmud.


Hadir sama Pengurus Besar (Pengurusan Aset Penghantaran) Sabah Electricity, Ir. Ts. Mohammad Fauzi Awang dan Ketua (Strategi Penghantaran), Ir. Ts. Sudalli Sabtuahim.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page