top of page
  • Wartawan Nabalu News

Keupayaan bersatu padu akan tentukan masa depan Malaysia - Ewon

15 Sept 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Keupayaan pelbagai kaum untuk bersatu padu akan menentukan masa depan negara ini, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.


“Negara kita yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama, budaya dan adat resam harus terus bersatu padu, hormati-menghormati dan bekerjasama antara satu sama lain. Keupayaan kita bersatu padu dan hormat menghormati inilah akan menentukan masa depan negara kita.


“Ini termasuklah usaha pembangunan ekonomi dan kemudahan yang diperlukan oleh rakyat. Semua ini bermula daripada keupayaan rakyat bersatu-padu,” katanya ketika berucap pada sambutan Festival Tua Pek Kung Sedunia di Donggongon, Penampang, hari ini.


Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, selagi menjadi Wakil Rakyat di Sabah, beliau akan menyokong kepimpinan yang berupaya memupuk kesatuan, kerjasama dan keharmonian semua kaum di negara ini, termasuk peranannya memastikan perkara itu dijayakan di Penampang.

“Kita sedang bekerjasama keras menyediakan Pelan Pembangunan Penampang dan saya mengalu-alukan cadangan semua rakyat Malaysia. Kejayaan melaksanakan pelan pembangunan ini juga banyak bergantung kepada keupayaan kita bersatu padu dan bekerjasama,” katanya.


Seterusnya, semasa merasmikan Konsert Keehoi Malaysiaku anjuran SabahVFM di Buhavan Square, Donggongon, Ewon turut mengulangi gesaan yang sama agar semua rakyat berbilang kaum dapat memantapkan keharmonian, amalan hormat-menghormati dan semangat bekerjasama antara satu sama lain.


Comments


bottom of page