top of page

Kids Art & Craft Camp UMS Lonjak Potensi Kreatif Generasi Muda

  • nabalunews
  • 3 hours ago
  • 2 min read


ree

23 Oktober 2025


KOTA KINABALU: Program Kids Art & Craft Camp 2025 anjuran Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK), Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mampu memupuk kreativiti dan imaginasi kanak-kanak melalui aktiviti seni dan kraf yang menyeronokkan.


Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FPPS, Prof. Madya Dr. Roslee Talip berkata, program berimpak tinggi itu menjadi platform penting untuk menghubungkan universiti dengan masyarakat melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar (experiential learning).


“Program seperti ini bukan sahaja memberi manfaat besar kepada kanak-kanak, malah membantu mahasiswa mengasah kemahiran insaniah dan pedagogi mereka.

ree

“Ia juga memperkukuh semangat sukarelawan serta tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar,” katanya dalam satu kenyataan bersempena dengan program tersebut.


Dalam pada itu, Pengarah Program, Mohd Nurhelmi Johalim memaklumkan, program itu disertai oleh 15 kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun dengan setiap peserta dibimbing oleh pelajar Tahun Tiga program PAKK yang bertindak sebagai fasilitator sepanjang aktiviti berlangsung.


“Objektif utama program ini adalah untuk membina perkembangan seimbang dari segi kognitif, sosial dan emosi kanak-kanak, di samping menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya dalam aspek pendidikan berkualiti dan kesejahteraan mental.


“Melalui seni dan kraf, kanak-kanak berpeluang meluahkan ekspresi diri mereka dengan cara yang menyeronokkan serta didedahkan kepada nilai-nilai STEM melalui aktiviti reka bentuk dan manipulasi bahan,” katanya.


Antara aktiviti menarik yang dijalankan termasuk membuat rantai menggunakan straw, menghasilkan kupu-kupu daripada pelapik kek cawan, serta membina akuarium kotak kreatif.


Aktiviti-aktiviti tersebut bukan sahaja mengasah kemahiran motor halus, malah turut meningkatkan daya imaginasi, tumpuan dan keyakinan diri peserta.


Selain memberi manfaat kepada kanak-kanak, program itu turut memberi impak positif kepada mahasiswa melalui pelaksanaan teori pendidikan dalam situasi sebenar, di samping memperkukuh kemahiran komunikasi dan pengurusan kumpulan.


Beberapa ibu bapa peserta turut melahirkan rasa teruja dan berpuas hati dengan penganjuran program berkenaan.


“Anak saya sangat seronok menyertai aktiviti ini. Dia bukan sahaja belajar membuat kraf, tetapi juga lebih berani dan yakin berinteraksi dengan rakan-rakan baharu,” kata salah seorang ibu bapa yang hadir.


FPPS turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja yang menyokong kejayaan program termasuk Pusat Pendidikan Fleksibel UMS, Cotra Enterprise, Maika Serigraphy, Kilimu Garage Ranau, Jetama Water Sdn. Bhd., Cravory by Nabila, Cokidspace, dan Kidzoona.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page