top of page
Wartawan Nabalu News

Kita kongsi negara yang sama, masa depan bergantung kebersamaan rakyat - Ewon 



18 Mac 2024

 Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyatakan bahawa masa depan negara bergantung kepada kebersamaan rakyat di sebalik perbezaan kaum dan agama.

 

Menurut beliau, rakyat berkongsi milik negara ini dan menjadi tanggungjawab bersama rakyat untuk membangun serta menyediakan masa depan yang lebih baik untuk negara ini.

 

“Di sebalik perbezaan agama, kita berkongsi negara ini, kita berkongsi negeri, daerah dan kampung yang sama. Sebab itu toleransi dan semangat hormat-menghormati sangat penting.

 

“Negara ini adalah milik bersama dan tanggungjawab bersama kita. Kebersamaan kitalah yang akan menentukan masa depan negara kita,” katanya.

 



Menurut beliau, selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, beliau meneruskan amalan menghadiri acara-acara keagamaan dan kebudayaan sebagai satu petunjuk penting kebersamaan membina masa depan negara.

 

“Semua kita ada peranan dalam membangun negara ini. Selaku Menteri dan Adun, saya hadiri majlis berbuka puasa bersama rakan-rakan Muslim di Kg Tambulion seperti tradisi saya selama ini, seterusnya menghadiri acara rumah terbuka Hari Raya. Saya juga sampaikan sumbangan kepada setiap masjid dan surau yang ada di Kadamaian melalui peruntukan Adun saya.

 

“Pada bulan hadapan, saya akan berjumpa dengan pemimpin-pemimpin gereja di seluruh Kadamaian dan menyampaikan sumbangan yang sama kepada setiap rumah ibadat bukan Islam di Kadamaian. Ini adalah komitmen saya untuk melihat semua rakyat boleh bersama-sama membangunkan negara ini walaupun berbeza agama dan kaum,” katanya.

 



Ewon menyatakan demikian semasa berucap di majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada masjid, surau dan golongan asnaf peringkat DUN Kadamaian, di sini, hari ini.

 

Dalam majlis tersebut, Ewon menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada setiap surau, manakala masjid Kg Tambulion menerima RM10,000 selaku tuan rumah.

 

Sebanyak 130 golongan asnaf juga menerima sumbangan RM150 setiap seorang daripada Yayasan Bank Rakyat, agensi di bawah tanggungjawab Ewon.

 

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg Tambulion Laut juga menerima sumbangan RM5,000 daripada Ewon.

Comments


bottom of page