KKM perkukuh reformasi elak penghijrahan petugas kesihatan
- nabalunews
- 3 days ago
- 2 min read

13 Julai 2025
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperkukuh usaha reformasi menerusi penambahbaikan skim perjawatan dan aspek kebajikan petugas kesihatan negara bagi mengelakkan mereka berhijrah.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia antaranya pindaan Akta Perubatan 1971 bagi memperluas laluan kepakaran seperti Parallel Pathway dan kenaikan gaji 13 peratus di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang berkuat kuasa tahun ini.
Katanya, KKM turut menambah baik sistem penempatan ePlacement, mengurangkan kebergantungan kepada model kontrak, membina laluan kerjaya lebih jelas bagi pegawai perubatan serta menawarkan 2,248 jawatan tetap kepada pegawai perubatan kontrak.
“KKM juga memberi penekanan serius terhadap isu keletihan melampau (burn-out), budaya kerja toksik dan gangguan di tempat kerja dengan memperkenalkan garis panduan baharu serta siasatan dalaman yang lebih tegas.
“Selain itu, penstrukturan semula budaya organisasi dan libat urus langsung dengan kepimpinan fasiliti juga dilaksanakan bagi mewujudkan persekitaran kerja yang adil, selamat dan menyokong.
“KKM juga komited untuk memberikan sokongan kukuh dan pengiktirafan bermakna kepada petugas kesihatan awam bagi mengekalkan semangat dan motivasi mereka,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Kenyataan itu susulan tindakan agensi pencarian bakat dari Singapura yang yang giat merekrut profesional kesihatan negara menerusi sesi temu duga terbuka yang diadakan di institusi pengajian tinggi tempatan dan lokasi berprofil tinggi seperti Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Dr Dzulkefly berkata, tindakan itu menggambarkan pengiktirafan antarabangsa terhadap sistem latihan kesihatan negara, namun pada masa sama mencetuskan cabaran besar dalam mengekalkan tenaga kerja kesihatan dalam sistem awam.
“Dari sudut diplomatik, tindakan Singapura tidak melanggar mana-mana perjanjian ASEAN atau komitmen dua hala antara, malah tiada peruntukan undang-undang yang membolehkan kerajaan menghalang pengamal perubatan Malaysia daripada mencari pekerjaan di luar negara.
“Kerajaan juga tidak mempunyai kuasa untuk menyekat agensi berlesen daripada merekrut tenaga kesihatan tempatan bagi penempatan luar negara, selagi agensi itu berdaftar secara sah dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK),” katanya.
Justeru itu katanya, tanggungjawab besar terletak kepada KKM sendiri untuk memperkukuh usaha mengekalkan bakat sedia ada dan membendung peningkatan trend penghijrahan profesional kesihatan ke luar negara.
Menurut Dr Dzulkefly, satu kajian bebas oleh Strategic Engagement Group (SEG) turut mencadangkan penubuhan Lembaga Tadbir Urus Sumber Manusia dalam Sektor Kesihatan yang melibatkan pelbagai kementerian, kerana isu ini perlu ditangani melalui pendekatan seluruh negara.
"Isu ini bukan tanggungjawab KKM sahaja. Penyelesaian jangka panjang menuntut kerjasama dan komitemen rentas agensi termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Kewangan, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia.
“KKM kekal komited untuk membina sistem kesihatan yang berdaya tahan dan progresif menerusi usaha reformasi pembiayaan kesihatan serta pemodenan penyampaian perkhidmatan melalui digitalisasi dan teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Comments