KKM, Roche Malaysia jalin kerjasama perluas akses rawatan kanser
- nabalunews
- Aug 26, 2025
- 2 min read

26 Ogos 2025
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengukuhkan lagi komitmen dalam memperluaskan akses rawatan kanser menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Roche (Malaysia) Sdn Bhd bagi melaksanakan inisiatif Cancer Care Closer to Community (CCC).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kerjasama strategik itu menandakan komitmen bersama dalam memastikan akses kepada rawatan kanser lebih mudah dicapai dan saksama.
Katanya, menerusi inisiatif CCC, perkhidmatan rawatan dan susulan pesakit kanser tidak lagi hanya tertumpu di hospital rujukan besar, sebaliknya akan diperluas ke hospital daerah dan klinik kesihatan, bermula dengan rawatan kanser payudara dan kolorektal.
“Usaha ini akan mengurangkan beban perjalanan, khususnya bagi pesakit di Sabah dan Sarawak, dan membolehkan rawatan diteruskan lebih dekat dengan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan selepas majlis menandatangani MoU tersebut di Ibu Pejabat KKM, pada Isnin.
Dzulkefly berkata, kanser merupakan antara tiga beban utama Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) di Malaysia dengan lebih 60 peratus kes dikesan pada peringkat lewat iaitu Tahap 3 dan 4.
Menurutnya, ia bukan sahaja mengehadkan pilihan rawatan, malah meningkatkan tekanan emosi dan kewangan kepada pesakit serta keluarga, serta menambah beban kepada sistem kesihatan negara.
Melalui MoU berkenaan, KKM dan Roche akan membangunkan model penyampaian CCC yang boleh disesuaikan dan diperluas di seluruh negara, melatih jururawat onkologi melalui pendekatan Train-the-Trainer, serta memperkukuh sokongan nasihat strategik dan pembelajaran digital berterusan.
Beliau berkata, kerjasama itu turut melengkapkan usaha sedia ada di bawah Pelan Kawalan Kanser Kebangsaan (NCCP), seiring dengan kemajuan Malaysia dalam bidang perubatan presisi serta penyelidikan kanser.
“Ia juga selari dengan seruan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk memperkukuh perkhidmatan kesihatan berasaskan komuniti dan berpusatkan rakyat.
“Matlamat kita jelas, memastikan hasil rawatan yang lebih baik, akses yang adil, dan tiada siapa yang tercicir dalam perjuangan melawan kanser,” katanya.















Comments