KKR naik taraf aplikasi sistem eBencana, kemaskini maklumat setiap empat jam
11 November 2024
KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menaik taraf aplikasi mudah alih Sistem eBencana JKR, yang kini mengintegrasikan data bencana secara menyeluruh melalui Laman Pengurusan Bencana.
Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, semua laporan terkini mengenai kejadian bencana di daerah-daerah yang terjejas akan dikemas kini setiap empat jam melalui aplikasi ini untuk memastikan maklumat mengenai situasi bencana dapat disalurkan dengan lebih cepat dan tepat kepada semua pihak yang terlibat, termasuk pasukan penyelamat, pihak berkuasa tempatan, dan masyarakat umum, bagi mempercepatkan tindakan dan meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana.
“Maklumat-maklumat ini penting untuk terus diakses ke telefon bimbit oleh pengguna terutamanya di kawasan-kawasan yang terkesan,” katanya seperti dilaporkan Buletin TV3.
Nanta berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Bilik Gerakan Bencana (BiGBEN) dan Sistem Pengurusan Bencana (eBENCANA) di ibu pejabat JKR di sini, hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Katanya, bilik gerakan BiGBEN menyediakan maklumat bencana banjir, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap, jambatan rosak atau runtuh.
Ujarnya lagi, maklumat mengenai penutupan jalan serta informasi laluan alternatif untuk pengguna jalan raya merancang perjalanan semasa musim turut dikongsikan.
“Pengoperasian BiGBen dan Sistem eBencana JKR memberi manfaat bukan sahaja untuk orang awam, malah boleh menjadi rujukan kepada agensi terlibat untuk tindakan penyelarasan dan pengurusan bencana negara yang efisien,” katanya.
Sebelum ini, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata bilik gerakan bencana KKR diaktifkan bermula 5 November 2024 hingga Mac 2025 bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
MTL atau musim tengkujuh di Malaysia dijangka bermula pada 5 November dan berterusan hingga Mac tahun depan.
Dalam tempoh berkenaan, lima hingga tujuh episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
Comentários