top of page

KKR peruntuk RM2.96 bilion bagi penyenggaraan jalan persekutuan tahun lalu

  • nabalunews
  • 7 minutes ago
  • 2 min read

4 Februari 2026


KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) telah memperuntukkan RM2.96 bilion bagi penyenggaraan jalan di bawah selian Kerajaan Persekutuan sepanjang tahun lalu, meningkat RM490 juta berbanding tahun sebelumnya.


Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak RM2.36 bilion diperuntukkan bagi Semenanjung Malaysia, manakala RM595.6 juta untuk Sabah, Sarawak dan Labuan.


Bagi Semenanjung Malaysia, Pahang menerima peruntukan tertinggi iaitu RM428.85 juta, diikuti Johor sebanyak RM424.08 juta, Perak RM336.38 juta dan Selangor RM247.15 juta.


Sementara itu, Sabah diperuntukkan RM341.74 juta, Sarawak RM213.22 juta dan Labuan sebanyak RM40.63 juta.


“Peruntukan ini meliputi penyenggaraan rutin, penyenggaraan berkala pavemen dan bukan pavemen, penyenggaraan kecil jambatan, lampu jalan dan lampu isyarat.


“Kerja-kerja berkenaan dilaksanakan oleh syarikat konsesi melalui Arahan Kerja (AK), selain pelaksanaan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) menerusi kaedah perolehan di peringkat jabatan,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.


Beliau menjawab soalan Zahari Kechik (PN-Jeli) yang ingin tahu berhubung jumlah yang telah diperuntukkan dan telah dilaksanakan bagi penyelenggaraan jalan raya bagi setiap negeri pada tahun 2024 dan 2025.


Mengulas perancangan pelaksanaan kerja bagi tahun ini, Ahmad berkata jalan-jalan yang mengalami kerosakan telah dikenal pasti oleh syarikat konsesi penyenggaraan jalan persekutuan yang dilantik, selain penilaian turut dibuat oleh JKR.


“JKR telah menyediakan Anggaran Penyenggaraan Jalan (APJ) Tahun 2026 berdasarkan rekod kerosakan jalan yang dikenal pasti.


“Bagaimanapun, kelulusan pelaksanaan kerja adalah tertakluk kepada senarai keutamaan yang disediakan oleh JKR dengan mengambil kira tahap kritikal kerosakan di keseluruhan rangkaian Jalan Persekutuan,” ujarnya.


Sementara itu, menjawab soalan tambahan Mohd Kurniawan Naim Moktar (BN-Kinabatangan) berhubung perbezaan tahap penyenggaraan jalan antara Semenanjung dan Sabah, Ahmad memaklumkan penyelenggaraan dibuat mengikut kategori jalan tertentu.


Jelas beliau, penyenggaraan jalan Negeri dan jalan bandaran adalah di bawah tanggungjawab kerajaan negeri masing-masing melalui peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) daripada Kementerian Kewangan.


"Untuk Sabah, bagi 2025, kerajaan memperuntukkan RM341.7 juta bagi penyelenggaraan jalan. Kita tahu jalan ini ada pelbagai jenis.


"Jalan diselenggara JKR pusat ialah jalan persekutuan dan lebuh raya. Jalan negeri itu juga panjang, jalan bandaran juga di bawah kerajaan negeri," katanya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page