KLUSTER SAWIT SEGAMA LAHAD DATU, KLUSTER TEMPAT KERJA
- Wartawan Nabalu News
- Jul 9, 2021
- 1 min read

9 Julai 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Satu kluster baharu direkodkan hari ini dikenali sebagai Kluster Sawit Segama - Lahad Datu merupakan kluster di tempat kerja dan punca jangkitan disyaki dibawa masuk dari Indonesia.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, kluster ini melibatkan kes indeks, wanita, 48, warganegara Indonesia dikesan positif pada 06 Julai 2021 hasil saringan masuk kerja di sebuah klinik swasta.
“Kes indeks yang masuk ke Sabah pada 25 Jun 2021 bersama dua orang cucu, diarahkan menjalani kuarantin di Ladang Sabah Mas (Division Segama) sebelum dibenarkan bekerja.
“Dia yang mula bergejala batuk dan sakit tekak sejak 03 Julai 2021, kemudian mengambil swab PCR bersama beberapa ahli keluarga lain yang juga sedang dikuarantin di ladang yang sama,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Masidi berkata, susulan penemuan kes positif itu, pengesanan secara aktif dan saringan yang dijalankan terhadap 64 kontak mendapati 14 lagi individu disahkan positif termasuk satu kes baharu menjadikan jumlah kumulatif kes positif kluster ini sebanyak 15 kes.
“Sementara, 49 individu didapati negatif saringan pertama.
“Semua kes positif dalam kluster ini telah dirujuk ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut dan pengasingan di PKRC Lahad Datu, manakala semua kontak rapat juga telah diarahkan untuk menjalani kuarantin di pusat kuarantin PPR Sri Sepagaya, Lahad Datu,” katanya.















Comments